Ibu Lega Dapat Tunai Hasrat Anak Hidap Kanser Tahap 4

Ibu lega dapat tunai hasrat Akmal Hadi Mohamad, 12, berjumpa sukarelawan yang banyak membantunya
SUNGAI PETANI - Kanak-kanak penderita kanser tahap empat, Akmal Hadi Mohamad, 12, selamat tiba dari Kuala Lumpur menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS)  jam 2.09 petang semalam.

Ibunya, Miza Pawan Chik, 42, berkata, perjalanan dari Kuala Lumpur bermula jam lebih kurang 11 pagi tadi semata-mata untuk menunaikan hasrat anaknya yang teringin sangat bertemu sukarelawan yang banyak membantunya selain mahu bermesra dengan penghuni Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda.

Menurutnya, Akmal disahkan penghidap kanser synovial sarcoma tahap empat sejak Februari 2016 dan menggunakan kerusi roda sepenuhnya lebih 10 bulan lalu.

"Alhamdulillah bersyukur kerana perjalanan kami selamat sampai dan dapat tunaikan hasrat anak nak ke Kedah, dia juga pertama kali merasai naik ETS. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, dia tetap bersemangat.

"Tak sangka pula dapat sambutan luar jangka dengan paluan kompang dan bunga manggar selain diiringi 30 konvoi motorsikal berkuasa tinggi dari Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Sungai Petani untuk ke rumah anak yatim,"katanya dalam keadaan sebak tadi.

Sumber: Sinar Harian