Ibu Muda Di Pendang Risau Anak Kecil Hidap Hidrosefalus


PENDANG - Seorang ibu muda hidup dalam kerisauan kerana sentiasa memikirkan nasib anak kecilnya yang menghidap penyakit 'hidrosefalus' sejak berusia satu bulan.

Noor Azimatun Faghira Aziz, 20, berkata, dia sedih dan risau memikirkan keadaan serta nasib anaknya.

"Kepala anak saya semakin membesar saban hari dan ini menyebabkannya tidak selesa dan sering menangis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Lapan, Pendang di sini.

Difahamkan kepala anaknya, Nur Sutra Fatihah Abdullah, 16 bulan mempunyai kandungan air yang berlebihan.

"Saya sendiri tidak pasti apa punca sebenar perkara sebegini berlaku dan hanya berharap dia boleh sembuh dan membesar seperti bayi lain," katanya.

Menurut Azimatun anaknya itu pernah menjalani pembedahan pada 30 Ogos 2016 namun masih lagi berkeadaan yang sama.

Azimatun berkata, anaknya itu juga memerlukan susu khas yang berharga RM86 satu tin yang hanya bertahan selama dua minggu.

"Anak saya tak boleh minum susu lain kalau tidak dia akan muntah. Kesian pula bila tengok dia muntah sebab dia terlalu kecil untuk merasai kesakitan seperti ini," katanya sambil menahan sebak.

Katanya, sebagai seorang suri rumah dia rasa agak tersepit dengan keadaan ini kerana perlu memperuntukkan wang yang agak tinggi untuk anaknya.

Suaminya, Mohd Syarifudin Abdul Rashid, 22, baru sahaja mendapat tawaran bekerja sebagai tentera darat dan sekarang berada di Melaka.

"Sejak lahir anak saya tidak dapat bergerak kiri dan kanan, dan alhamdulilah selepas pembedahan tahun lalu dia dapat bergerak sedikit namun saiz kepalanya semakin membesar.

"Sekarang ini saya cuma minta bantuan ayah untuk hantar saya dan anak ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan setiap bulan di hospital.

Azimatun berkata, pelbagai kaedah rawatan telah dilakukannya.

"Perubatan secara tradisional juga telah saya lakukan dan ternyata keadaannya masih sama.

"Saya rayu kepada orang ramai yang mempunyai kaedah rawatan bagi penyakit ini supaya menghubungi saya di talian 01132091029," katanya.

Sumber: Sinar Harian