Islam Perlukan Lelaki Yang Beriman, Berdedikasi


SUATU hari Umar Al-Khattab r.a berada dalam sebuah rumah di Madinah bersama sekumpulan sahabat. Beliau bertanya kepada kumpulan sahabat tersebut tentang apa yang dimahukan mereka untuk mengisi sebuah rumah kosong.

“Seorang sahabat menjawab, dia mahukan rumah kosong itu diisikan dengan emas supaya dapat menggunakannya untuk jihad dan dibelanjakan pada jalan Allah SWT. Sementara seorang lagi sahabat berkata, dia mahukan rumah itu diisikan dengan permata dan berlian supaya harta tersebut boleh diberikan kepada umat Islam lain serta dimanfaatkan di jalan Allah SWT,” kata penceramah bersuara lantang, Adam Zeiner.

Zeiner yang juga seorang imam di Austin, Texas, Amerika Syarikat berkata, setelah mendengar jawapan daripada sahabat tersebut, Umar kemudiannya memberi jawapan berhubung impian dirinya yang mahukan rumah itu diisikan dengan lelaki-lelaki yang hebat seperti Abu Ubaidah, Ammar, Ibnu Jarrah, Muaz Bin Jabal, dan Abu Huzaifah.

Tegas beliau, dia mahu menggunakan mereka untuk memperkasakan Islam dan menyebar agama Allah ke seluruh dunia.

Ternyata impian Umar itu begitu berbeza dengan kumpulan sahabat itu, namun kesemuanya masih menginginkan sesuatu yang boleh disumbangkan ke jalan Allah.

“Lihatlah bagaimana pemikiran kumpulan sahabat nabi. Setiap pandangan, cara pemikiran dan tindakan mereka hanya kerana Allah SWT. Beginilah cara pemikiran mereka untuk berjihad pada jalan Allah dan mencari keredaan Ilahi.

“Umar mengetahui bahawa emas, permata atau sebagainya akan habis dibelanjakan. Tetapi dengan kumpulan lelaki seperti yang dinyatakan itu, mereka adalah jentera terbaik dalam menyebarkan syiar Islam di muka bumi Allah,” kata imam muda tersebut kepada seluruh jemaah dalam satu khutbah solat Jumaat.

Kehebatan lelaki yang dinyatakan oleh Umar itu amat tinggi. Malah merupakan kumpulan pemimpin yang paling boleh dipercayai dan hebat dalam ilmu al-Quran serta hadis.

Tambah Adam, bagi menjadikan agama Islam kuat, teguh dan hebat dalam kalangan orang ramai adalah menerusi kumpulan lelaki Islam yang berdedikasi.

“Islam sangat memerlukan kumpulan lelaki benar-benar berdedikasi pada jalan Allah. Lelaki sebenar yang mempunyai keimanan teguh kepada Allah SWT.

“Kita mempunyai ramai kumpulan lelaki, tetapi adakah mereka benar-benar hebat? Mampu menjadi tulang belakang kepada usaha dakwah dan pengembangan agama Islam,” katanya.

Adam menjelaskan bahawa terdapat tiga jenis pemuda iaitu yang pertama yakin dengan Allah dan mencintai agama sepenuhnya.

Keduanya, golongan pemuda yang mengikut hawa nafsu dan ketiga ialah mereka yang kebanyakannya dalam keadaan kekeliruan.

“Golongan kedua dan ketiga ini adalah mereka yang ketika mana di rumah dan sekolah mendapat pendidikan Islam, tetapi apabila berada di luar, mudah terpengaruh dengan apa yang ada di sekeliling. Ini adalah majoriti kumpulan pemuda Islam pada masa ini,” tegasnya.

Tambah Adam, Islam tidak memerlukan lelaki dalam bentuk kuantiti tetapi lebih diukur dari sudut kualiti. Pada zaman Nabi SAW, katanya, jumlah orang Islam adalah sedikit tetapi nilai yang ada pada setiap lelaki Islam adalah menyamai ribuan anak muda orang kafir.

Selain itu, katanya, jangan sesekali menilai keupayaan seseorang berdasarkan umur. Contoh terbaik ialah Abdullah Ibnu Zubair.

“Semasa kanak-kanak lain melarikan diri ketika melihat Umar al-Khattab yang terkenal dengan ketegasan beliau dalam urusan agama, namun Abdullah masih berdiri tegak di tempatnya.

“Apabila Umar bertanyakan kepadanya kenapa tidak bertindak seperti kanak-kanak lain, Abdullah dengan tenang berkata: “Saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Jadi, kenapa perlu saya melarikan diri daripada kamu wahai Umar,” katanya.

Mendengar ucapan tersebut, Umar kemudiannya berkata: “Kamu adalah anak lelaki sejati kepada bapa kamu, Zubair Ibnu Awwam,”.

Begitulah sifat sebenar yang dimahukan Islam menerusi umatNya. Benar-benar berani dan tidak gentar terutama untuk berjihad di jalan Allah.

Sumber: Utusan