JIKA mahu dinobatkan siapa wali Allah yang paling utama, tiada siapa dapat menandingi ‘ranking’ diungguli para sahabat nabi r.a. Apa tidaknya, mereka hidup dan bersusah senang bersama Rasulullah SAW menyebarkan Islam. Nama harum generasi mereka turut direkodkan al-Quran dan hadis.
Jika diteliti dalam kitab hadis dan sejarah, kita akan menemukan banyak karamah para sahabat nabi, antaranya kisah cahaya yang mengiringi laluan dua sahabat:
“Anas r.a. menceritakan dua lelaki Ansar (Usayd bin Hudhayr dan ‘Abbad bin Bisyr) keluar setelah bertemu Rasulullah SAW pada malam yang sangat gelap. Tiba-tiba di hadapan mereka berdua ada (secebis) cahaya menyuluh jalan. Apabila kedua-duanya berpisah cahaya tersebut berpecah dua (mengikut mereka),” - Sahih Bukhari
Juga kisah ajaib Safinah (lelaki) bekas hamba Rasulullah SAW yang diiringi seekor singa dalam perjalanannya. Singa itu tunduk mengiringinya apabila beliau menyebut beliau adalah utusan Rasulullah SAW (Mustadrak al-Hakim, Dala’il al-Nubuwwah).
Supaya kita tidak salah memahami peranan karamah, perlu diketahui bahawa karamah mana-mana manusia daripada umat Nabi Muhammad SAW sebenarnya bernaung dalam lingkungan cahaya mukjizat baginda.
Dengan kata lain, wali Allah yang sebenar wajib berpegang kepada sunah Rasulullah. Semakin kuat pegangan sunahnya, semakin kuat kewaliannya.
Antara kisah karamah sahabat yang jarang diketahui adalah ‘kalis sejuk, yang dikurniakan Allah kepada seorang sahabat, Hudhayfah ibn al-Yaman r.a. Kisah ini berlaku dalam perang Ahzab ketika umat Islam dikepung oleh belasan ribu tentera musuh. Kegemparan perang ini sungguh dahsyat sehingga jantung umat Islam diibaratkan berdegup sampai ke kerongkong.
Firman Allah:
“Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta jantung hati pun mendesak naik ke kerongkong (resah gelisah kerana cemas takut), dan kamu pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai sangkaan,” (al-Ahzab [33:10]).
Ketika kemenangan semakin hampir, Allah mengutus angin sejuk. Semua yang berada di Madinah pada waktu itu tidak terlepas daripada angin yang terlalu sejuk itu.
Firman Allah:
“Wahai orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (daripada malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan,” (al-Ahzab [33:9]).
Pada ketika itu Hudhayfah menceritakan:
“Pada malam ketika perang Ahzab, kami bersama Rasulullah SAW merasakan tiupan angin yang sangat kencang dan dingin mencekam.“Kemudian Rasulullah SAW bersabda: ‘Adakah sesiapa yang bersedia mencari berita musuh dan melaporkannya kepadaku, mudah-mudahan Allah menempatkannya bersamaku pada hari kiamat kelak.’“Kami semua diam, tiada seorang pun menjawabnya. Rasulullah SAW mengulangi pertanyaan itu sampai tiga kali.“Baginda kemudiannya bersabda: ‘Bangunlah Wahai Hudhayfah, carilah berita dan laporkanlah kepadaku.’Maka tidak dapat tidak aku mesti bangkit, kerana baginda menyebut namaku. Nabi SAW berpesan: ‘Pergilah merisik berita musuh dan janganlah engkau melakukan tindakan apapun.’Ketika berangkat, aku berasa seperti berjalan di atas air yang panas (langsung tidak merasai kesejukan yang mencengkam orang lain), sehinggalah aku tiba di tempat mereka (musuh). Pada waktu itu aku lihat Abu Sufyan sedang memanaskan belakangnya pada tempat api.“(Tanpa tunggu) aku segera memasang anak panah di busur untuk memanahnya, tetapi (hasrat itu aku batalkan setelah) teringat pesan Rasulullah SAW, ‘Janganlah engkau melakukan tindakan apapun.’ Sedangkan jika aku memanahnya, pasti ia akan mengenai pahanya.“Kemudian aku kembali (kepada Rasulullah) seperti orang berjalan di atas air yang panas (langsung tidak merasai kesejukan yang mencengkam orang lain). Setelah selesai menyampaikan berita musuh kepada Rasulullah, aku mulai merasai sejuk yang mencengkam.“Rasulullah SAW segera menyelimuti aku dengan kain yang biasa dipakai untuk solat. Malam itu aku tidur sampai pagi dan dibangunkan oleh baginda yang berkata, ‘Bangun, wahai orang yang tidur’.” (Sahih Muslim).
Subhanallah! Ajaib sekali kisah ini. Hudhayfah dikurniakan karamah dan dilindungi daripada sejuk mencengkam kerana beliau menyahut arahan Rasulullah SAW (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).
Kisah ini menjadi bukti betapa karamah para wali seperti Hudhayfah berkait rapat dengan cintanya kepada Allah dan Rasulullah.
Sumber: Utusan