Isu KUIN: Exco Pendidikan Penjelas Kedudukan Sebenar


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri menegaskan bahawa Kerajaan Pusat tidak mempunyai sebarang masalah untuk meluluskan permohonan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) untuk dinobatkan sebagai universiti penuh sekiranya memenuhi semua syarat keperluan yang ditetapkan.

Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mohd Zin berkata, kedudukan KUIN kini hanya sedikit sahaja tidak memenuhi syarat keperluan tersebut dan ia membabitkan jumlah tenaga pengajar bertaraf profesor dan profesor madya.

"Perdana Menteri tidak mempunyai masalah untuk memberi kelulusan universiti penuh sekiranya pihak KUIN memenuhi keperluan yang ditetapkan.. Ada sikit saja lagi, yang lain sudah tidak ada masalah.

"Tenaga pengajar bertaraf profesor untuk universiti penuh mesti sekurang-kurangnya 10 peratus, dan profesor madya pula mesti 20 peratus. Itu antara perkara penting bagi menentukan kualiti universiti penuh.

"Tapi kita tidak mencapai tahap itu lagi. Profesornya kurang daripada 10 peratus dan profesor madya pun kurang daripada 20 peratus. Jadi Perdana Menteri minta kita usaha untuk penuhi syarat keperluan itu saja," katanya dalam sidang akhbar di pejabat beliau di Wisma Darul Aman, tengahari tadi.

Jelas beliau, tidak timbul sama sekali soal Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak enggan mengumumkan KUIN sebagai universiti penuh kerana taklimat dari Rektor KUIN, Prof Dr. Fakhruddin Abdul Mukti tentang syarat yang belum dipenuhi institusi pengajian tinggi itu.

"Perdana Menteri melihat keperluan dari sudut tenaga pengajar, kita tidak mencapai seperti mana yang dikehendaki.

"Masalahnya sedikit saja, kita yakin KUIN akan dapat penuhi syarat itu dengan baik," jelas beliau.

Dalam pada itu, Exco Pendidikan turut menafikan dakwaan kononnya Kerajaan Negeri menabur janji kepada para pelajar untuk mengumumkan universiti penuh di majlis Perdana Menteri bersama rakyat Baling di Padang Awam Kuala Ketil, pada Selasa lalu.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa pihak KUIN telah mengatur sesi pertemuan dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memberi taklimat lanjut mengenai kedudukan KUIN dan perancangan strategik menuju ke arah status universiti penuh, esok.

Exco Pendidikan itu menegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah penuhi masalah modal berbayar sebanyak RM20 juta, bilangan tenaga pengajar sarjana, keuntungan untuk 3 tahun berturut-turut di dalam penyata kewangan tahunan.

Justeru itu, beliau yakin bahawa KUIN akan dinaik taraf sebagai universiti penuh pada tahun ini selepas semua syarat-syarat keperluan akan dipenuhi dengan baik.

Mengimbas kembali detik-detik KUIN diambil alih Kerajaan BN Negeri Kedah dari pengurusan di zaman PAS, Tajul menjelaskan tentang susah payah dan segala rintangan yang terpaksa ditempuhi untuk membina kembali tahap kecemerlangan IPT itu.

Jelas beliau, pertama kali Kerajaan BN Negeri Kedah memohon untuk mendapatkan status universiti penuh untuk KUIN kepada Kementerian Pengajian Tinggi adalah pada 17 Disember 2014, namun gagal ekoran masih jauh untuk memenuhi syarat.

Antara syarat yang tidak dipenuhi KUIN ketika itu adalah kekurangan modal berbayar sebanyak RM20 juta sedangkan modal berbayar yang dimiliki ketika itu hanya RM250,000 sahaja.

"Itu kita sudah penuhi, kerajaan negeri sudah membantu untuk penuhi syarat itu.

Selain itu katanya, antara kriteria utama untuk menjadikan KUIN sebagai universiti penuh, penyata kewangan institusi pengajian tinggi itu perlu mencatat keuntungan selama tiga tahun berturut-turut.

"Bagi tahun-tahun sebelum Kerajaan BN Kedah mengambil alih KUIN, semuanya mencatat kerugian. Namun setelah kita ambil alih, kita improve dari sudut pengurusan dan kewangan, penyata kewangan telah menunjukkan keuntungan bagi tahun 2014, 2015 dan 2016," katanya.

Jelas beliau lagi, markah penilaian untuk KUIN untuk permohonan pada tahun 2015, ia hanya mencatat 78.19 peratus, sedangkan keperluan untuk memohon taraf universiti penuh mensyaratkan supaya IPT itu mencatat markah 80 peratus ke atas.

"Namun yang terkini markah penilaiannya adalah 87.7 peratus," katanya berhubung kedudukan KUIN yang terkini. -Kedahnews.com