Isu KUIN: Pemuda PAS Diminta Jangan Politikkan Projek "Mi Segera"


ALOR SETAR - Pemuda PAS Kedah tidak perlu untuk menjadikan isu Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sebagai gimik politik murahan memandangkan institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu dijadikan projek "mi segera" oleh Kerajaan PAS sebelum ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, sebaliknya Pemuda PAS lebih wajar berterima kasih kepada pimpinan Kerajaan Negeri sedia ada kerana banyak memulihkan KUIN dari bebanan dan masalah.

"Pemuda PAS tidak perlu menjadikan isu KUIN sebagai gimik politik murahan mereka. Sepatutnya mereka perlu berterima kasih kepada kepimpinan yang ada kerana bebanan dan bahana yang telah mereka tinggalkan legasi yang cukup buruk dibaiki, dikukuh dan distrukturkan dengan visi yang lebih rencam oleh kerajaan masa kini.

"Hakikatnya KUIN adalah lambang perancangan "mi segera" kerajaan terdahulu.

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Barisan Nasional komited utk menyelesaikan segala permasalahan yg ada dan KUIN di strukturkan kembali," katanya membidas kecaman Pemuda PAS berkaitan isu menaik taraf KUIN sebagai universiti penuh, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy menjelaskan bahawa KUIN dahulunya merupakan sebuah IPT yang dianggap "caca merba" sepanjang 7 tahun lalu terutama dengan isu kakitangan, masalah pembayaran gaji, kurikulumnya selain isu pelajarnya.

Katanya, tindakan utama paling jelas bagi memperbaiki kemelut KUIN sebelum ini adalah dengan menstruktur semula bebanan hutang KUIN sebanyak RM330 juta dengan bantuan dari Kerajaan Pusat telah melepaskan IPT itu dari belenggu masalah kewangan yang meruncing.

"Kerajaan Pusat telah bermurah hati untuk menyerap hutang berkenaan, natijahnya beban negeri yang terpaksa membayar pinjaman beserta faedah sejumlah RM45 juta setahun tidak termasuk geran selenggaraan sejumlah RM22 juta kini dapat dikurangkan dengan hanya membayar RM18 juta.

"Ini mewujudkan lebihan sebanyak RM27 juta yang boleh disalurkan bagi meningkatkan pelaburan modal insan tenaga pengajar KUIN dan usaha mengukuh aspek kurikulum, program pengajian berkualiti dan juga usaha promosi bagi meningkatkan lagi enrolment pelajar ke KUIN, sama ada pelajar domestik mahupun antarabangsa," katanya kepada Kedahnews.com.

Sementara itu, beliau turut menyentuh tentang usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri dan KUIN untuk dinaik taraf ke tahap universiti penuh yang hanya memerlukan sedikit lagi tindakan untuk memenuhi syarat yang diperlukan.

"Permohonan KUIN mendapatkan status universiti penuh diminta untuk ditambah nilai dari segi kualiti bagi membolehkannya beroleh akreditasi penuh dari agensi penarafan negara MQA dan juga pengiktirafan antarabangsa berasaskan ranking QS.

"Dalam soal pengiktirafan KUIN selaku universiti penuh disebabkan ianya melibatkan penarafan dan pengiktirafan bukan sahaja oleh MQA dan agensi penarafan antarabangsa maka.soal kualiti tenaga pengajar, kredentials mereka dengan sasaran sekurangnya 50 peratus pensyarah memiliki kelulusan Ph.D.

"Demikian juga soal penyelidikan, bahan penerbitan, rujukan yang dipetik oleh sarjana luar serta penawaran program pengajian yang bermutu merupakan antara komponen pelengkap yang mewajahkan sebuah universiti," jelas beliau.

Justeru itu, Shaiful Hazizy menggesa semua pihak supaya memandang positif terhada usaha Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang meletakkan keutamaan untuk menjadikan KUIN sebagai universiti penuh dalam tempoh terdekat ini.

"Paling tidak, dengan usaha dan inisiatif awalan kerajaan pimpinan Dato' Seri Ahmad Bashah yang telah mengemukakan permohonan KUIN bagi naik taraf ke universiti penuh bermula November 2016, maka langkah ini harus dilihat sebagai merintis laluan mengukuhkan fungsi dan taraf KUIN di masa hadapan.

"Maka ingatan Perdana Menteri agar KUIN meningkatkan lagi kualiti semua aspek bagi melayakkannya menikmati status universiti penuh wajar melonjakkan lagi semangat dan gerak kerja seluruh barisan pengurusan, tenaga pengajar dan pelajar KUIN untuk bergabung tenaga agar usaha ini menjadi realiti," ujar beliau. -Kedahnews.com