Isu KUIN Universiti Penuh: Mereka Kurang Faham Sebenarnya... - MB


ALOR SETAR - Pihak yang tidak berpuas hati dengan status Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang belum dinaik taraf berkemungkinan kurang faham tentang kepentingan mencapai kualiti dan syarat yang ditetapkan untuk mencapai status sebagai universiti penuh.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada dasarkan memberi jaminan akan meluluskan permohonan naik taraf KUIN ke status universiti penuh asalkan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Mereka mungkin kurang faham tentang hal sebenarnya.

"Apa yang disebut Perdana Menteri adalah beliau sudah bersetuju (untuk meluluskan KUIN sebagai universiti penuh), cuma beliau perlu pastikan supaya kualiti pendidikan tinggi di KUIN supaya memenuhi syarat yang ditetapkan.

"Sebab itu Perdana Menteri sebut dalam ucapan beliau bahawa profesor-profesor perlu cukup dan syarat-syarat perlu cukup," katanya kepada Kedahnews.com, mengulas mengenai laporan mendakwa pelajar KUIN agak kecewa ekoran belum layak dinaik taraf sebagai universiti penuh.

Mohd Najib semalam memberitahu bahawa hasil pertemuan beliau dengan Rektor KUIN, Prof. Dato’ Dr. Fakhruddin Abdul Mukti, menjelaskan bahawa institusi pengajian tinggi itu hanya memerlukan sedikit lagi usaha untuk memenuhi syarat sebelum dinaik taraf sebagai universiti penuh.

Malah Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau memberi jaminan akan meluluskan permohonan tersebut sekiranya sedikit syarat yang perlu dipenuhi itu dapat direalisasikan oleh kolej universiti berkenaan.

"Jelas beliau, KUIN perlu memenuhi syarat-syarat tersebut bagi memastikan sijil atau ijazah yang dikeluarkan dari institusi pengajian tinggi itu menerima pengiktirafan dari semua pihak, sama ada perkhidmatan awam kerajaan, swasta mahupun di peringkat antarabangsa.

"Itu maksud Perdana Menteri semalam," kata Ahmad Bashah, sekaligus menegaskan bahawa kenyataan berkenaan adalah demi kebaikan dan masa depan para pelajar KUIN sendiri.

Difahamkan ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati apabila KUIN belum diumum sebagai universiti penuh oleh Perdana Menteri dalam ucapan beliau di Padang Awam Kuala Ketil, petang semalam.

Walau bagaimanapun, Ahmad Bashah dalam kenyataannya tetap menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk mendorong KUIN bagi terus berusaha memenuhi syarat yang sedikit lagi untuk dicapai itu supaya dapat menepati sasaran dinaik taraf sebagai universiti penuh tidak lama lagi. -Kedahnews.com