Isu Tanah Rizab Melayu: Mohon Kedah Guna Kaedah LPPSA - Pemuda Gerakan


ALOR SETAR - Pemuda Gerakan semalam memohon jasa baik pihak Kerajaan Negeri Kedah agar mengisytiharkan institusi kewangan komersial sebagai "Melayu" bagi menyelesaikan isu Tanah Rizab Melayu di negeri ini.

Ketua Pemudanya, Tan Keng Liang berkata, kaedah penyelasaian tersebut digunapakai bagi Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) sebelum ini dan ia mampu menyelesaikan isu berkenaan tanpa perlu menunggu keputusan dari Mahkamah Persekutuan.

"Isu ini sebenarnya boleh diselesaikan serta merta sekiranya Kerajaan Negeri Kedah mengambil kaedah penyelesaian yang sama seperti dibuat untuk LPPSA iaitu dengan mengisytiharkan bank kormesial sebagai "Melayu" di bawah Seksyen 19 Enakmen Tanah Rezab Melayu Kedah (No.63) bagi maksud gadaian mana-mana Tanah Simpanan Melayu di negeri Kedah," katanya.

Mengulas lanjut, semua institusi kewangan kormesil telah menghentikan kelulusan semua permohonan pinjaman berkaitan Tanah Rizab Melayu termasuk permohonan pinjaman membeli rumah di atas tanah berstatus berkenaan.

Tindakan tersebut adalah disebabkan sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah di Kedah dengan arahan menangguhkan pendaftaran semua urusan gadaian atas Tanah Rizab Melayu kepada institusi kewangan yang tidak disenaraikan bawah Jadual Kedua, Enakmen Tanah Rizab Melayu.

Surat yang ditandatangani oleh Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Datuk Md Zuki Siru itu turut menyebut bahawa arahan itu berkuat kuasa serta merta sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.

Kata Tan, penangguhan itu dijangka akan memakan masa lebih lama di antara 6 bulan hingga setahun, sedangkan Kerajaan Negeri sebenarnya berkuasa untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan lebih mudah.

"Rayuan kes di Mahkamah Persekutuan mungkin akan mengambil masa antara 6 bulan hingga setahun.

"Memandangkan Kerajaan Negeri Kedah boleh menyelesaikan isu tersebut bagi LPPSA yang melibatkan kakitangan awam, Kerajaan Negeri juga sebenarnya mempunyai kuasa untuk menyelesaikan isu tersebut bagi bank kormesial dan rakyat lain di negeri Kedah.

"Di negeri lain bank kormesial telah disenaraikan di dalam Enakmen Tanah Rizab Melayu negeri berkenaan. Sebagai contoh, lihat Enakmen Tanah Rizab Melayu negeri Kelantan," jelasnya.

Terdahulu, seorang peguam, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri semalam turut meminta agar Enakmen Tanah Rizab Melayu dipinda agar institusi kewangan kormesial dibenarkan untuk membiayai pinjaman terhadap tanah berkaitan tanah rizab Melayu.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar itu menjelaskan bahawa keizinan itu bukan membawa maksud menyerahkan milikan tanah kepada institusi kewangan "bukan Melayu", namun hanya sebagai "pembiaya pinjaman" sahaja ekoran orang Melayu majoritinya tidak dapat membeli tanah atau rumah secara tunai.

Jelasnya, pelepasan yang diumumkan Exco Kerajaan Negeri pada awal Disember lalu berkaitan LPPSA hanya melibatkan penjawat awam, namun tidak semua rakyat di Kedah merupakan penjawat awam. -Kedahnews.com