Itu Hanya Strategi DAP Untuk Lemahkan PAS

KOTA BHARU – PAS mendakwa hasrat DAP untuk kembali menjalinkan kerjasama merupakan strategi untuk melemahkan parti itu.

Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, DAP mempunyai strategi tersendiri untuk memberikan masalah kepada PAS dengan taktik yang sudah boleh dibaca pihaknya.

“DAP macam tiada cara lain, jadi dia ajak (bekerjasama), bila kita sanggup mereka akan hentam muka kita.

“Buat masa sekarang PAS memang tiada kerjasama dengan DAP dan sudah lama putus. Sukar untuk kita faham mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Van Sumbangan kerajaan negeri kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini.

Sebelum ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilaporkan menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRU14 malah beliau turut menegaskan hasrat  itu akan diteruskan walaupun ditentang Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas pendirian Mahathir yang menolak kerjasama dengan PAS, Ahmad berkata pihaknya hanya mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“PPBM nampak bersatu, tetapi tidak bersatu, tentang penolakan Tun M kita tidak boleh kata apa, hanya tunggu dan lihat,”tegasnya.

Sumber: Sinar Harian