Jangan Terima Apa Sahaja Ulama Kata – Mufti Perlis


KUALA LUMPUR – Orang ramai tidak sewajarnya menerima apa sahaja yang diperkatakan oleh golongan ulama berhubung sesuatu perkara.

Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, orang ramai mempunyai akal dan agama bukan untuk menyekat mereka daripada berfikir menggunakan akal.

“Jika hanya terima apa sahaja yang disebut oleh ulama, soalannya ulama mana? Ulama pun pelbagai aliran dan mazhab.

“Itu belum lagi kira yang pelbagai parti (politik),” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi membidas ceramah seorang tokoh agama yang menyeru orang ramai mematuhi hukum sesuatu perkara yang dinyatakan oleh ulama.

Penceramah agama itu berkata: “Lebih baik ambil sahaja hukum hakam yang telah disiapkan oleh ulama kerana orang awam walaupun `mengaji tinggi mana’ boleh bercelaru mengenai sesuatu hadis, dalil.

“Orang awam ikut apa yang haram, makruh, sunat dan sebagainya yang dinyatakan ulama kerana orang awam tak boleh mengesahkan sejauh mana nas atau dalil itu betul atau tidak dan bagaimana untuk menghurainya.”

Mohd. Asri seterusnya berkata, kenyataan penceramah agama itu hanya untuk menjadikan golongan agama sakral sehingga tidak dipersoalkan lagi kenyataan mereka.

“Lalu mereka boleh tuduh sesiapa yang mereka mahu ataupun mengambil kesempatan dunia dari siapa sahaja. Inikah versi Islam yang kita mahu?” katanya. – Kedahnews.com