Jari Sebagai Ejen Mungkar Di Zaman Ini?


SETIAP umat Islam tanpa mengira latar belakang diyakini amat memahami prinsip ‘amar makruf, nahi mungkar.’ Ia diajar dan diterapkan secara berterusan melalui pelbagai pendekatan sejak kecil lagi.

Ia bukan hanya untuk menjaga hubungan kita dengan Allah SWT tetapi juga bagi mewujudkan suasana harmoni sesama manusia atas muka bumi ini sehingga ke akhirat.

Rasulullah SAW sendiri menegaskan kepentingan prinsip itu melalui sabda baginda: 
“Sesiapa dalam kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” - Riwayat Muslim.
Kalau diteliti pada hadis Rasulullah SAW itu, mungkin ia agak sukar dipraktikkan pada zaman sebelum kemunculan era teknologi maklumat (IT). Biasanya, alasan yang diberikan bersabit dengan aspek keselamatan diri dan keluarga.

Apatah lagi, roh keberanian umat Islam zaman kegemilangan Islam dahulu tidak lagi diwarisi pada hari ini. Mulut cukup ringan untuk kata berani mati syahid tetapi realitinya, kematian itu sesuatu yang sangat ingin dielakkan.

Namun pada era IT sekarang, gesaan baginda Nabi SAW tersebut memang boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah, termasuklah berkaitan dengan keselamatan diri dan keluarga.

Ini diakui Ketua Sektor Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr. Mazlan Ismail pada Simposium Implikasi Dakwah Media Baharu: Lindungi Diri dan Keluarga di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Cabaran Media Sosial Dalam Membentuk Kestabilan dan Keharmonian Masyarakat.’

“Kalau dahulu, mungkin ia mustahil untuk lakukannya. Tetapi hari ini, kita boleh cegah dengan guna ‘jari’ iaitu jangan kongsi atau like sesuatu perbuatan atau perkara yang belum pasti kesahihannya.

“Tegahan sedemikian penting kerana ia boleh membawa kepada perbuatan fitnah sama ada disedari atau tidak,” katanya pada simposium sehari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan SKMM itu.

Tambah Mazlan, perbuatan fitnah alam siber memberi kesan yang cukup besar dan meluas berbanding zaman sebelumnya.

Contohnya, pada zaman Nabi SAW, perkara atau perbuatan fitnah bukan hanya disebarkan dari mulut ke mulut tetapi ia hanya tertumpu di Madinah sahaja.

Tetapi pada era alam siber hari ini, perbuatan fitnah boleh tersebar seluruh dunia dalam tempoh yang singkat sahaja kerana alam tersebut dikongsi oleh semua manusia atas muka bumi ini.

“Hanya dengan satu klik oleh jari pada papan kekunci di komputer atau telefon pintar, fitnah itu boleh dikongsi tanpa batasan sempadan. Lebih teruk, kita mungkin tidak akan rasa kesal atau takut atas perbuatan sedemikian,” katanya.

Namun begitu, Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintenden Hazizi A. Samad mengingatkan bahawa kebebasan yang dijanjikan oleh alam siber itu tetap ada risikonya.

“Selain aktiviti dalam alam siber tersebut direkodkan oleh syarikat pengendali Internet, ia turut mendedahkan kita kepada perkara atau perbuatan tidak bermoral.

“Antaranya, kelucahan, penculikan, ancaman akidah, terpedaya dengan iklan palsu, skim cepat kaya, ugutan dan sebagainya,” kata beliau.

Sumber: Utusan