SHAH ALAM – Kalau parti pembangkang tidak boleh bersatu, ia adalah salah Pas, kata Parti Amanah Negara (PAN).
Ini kerana menurut Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad, hanya Pas sahaja parti pembangkang yang berada di luar kelompok pembangkang negara ini.
“Sedangkan semua dah bersama, hanya Pas sahaja yang berada di luar lingkaran. Kalau pembangkang tidak boleh bersatu, ia adalah salah Pas dan bukannya salah parti pembangkang lain,” katanya kelmarin.
Parti pembangkang lain yang meletakkan calonnya sendiri dengan alasan untuk melawan BN dalam pilihan raya adalah parti yang mengkhianati rakyat.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian ketika mengulas cabaran perlawanan tiga penjuru yang mungkin terjadi pada PRU14 nanti.
Sementara itu, ketika mengulas kenyataan Mahathir, Khalid berkata, Pas sebenarnya faham apa yang cuba disampaikan Mahathir.
Bagaimanapun katanya lagi, parti itu lebih senang mengambil pendekatan menuding cari mencari kesalahan parti lain daripada bersama dengan pembangkang.
“Sekarang ini saya nampak Pas faham apa yang cuba disampaikan Mahathir, bagaimanapun mereka cuba salahkan orang lain.
“Mereka kata pembangkang tidak boleh bersatu kerana ada Mahathir. Mereka kata mereka tidak boleh bersatu kerana ada kami (PAN) dan DAP. Kalau PAN tidak ada baru mereka boleh bersatu,” katanya lagi.
Menurutnya, Pas sepatutnya mengambil pendekatan matang dengan duduk berbincang tentang satu lawan satu dengan pembangkang untuk PRU14 nanti.
“Rakyat mahukan perubahan dan cara terbaik untuk mencapai perubahan itu adalah dengan bersatunya semua parti pembangkang.
“Dan bila dah bersama, bolehlah kita bincang dan usulkan satu lawan satu (pembangkang menentang BN). Kalau ada yang tak mahu bersama, bersatu dalam satu saf bersama pembangkang, maka itu yang dikatakan (parti itu) mengkhianati rakyat,” bidasnya.
Sumber: Sinar Harian