Keadaan Datuk Lat Tidak Kritikal - Mamat Khalid


IPOH - Kartunis terkenal Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat tidak berada dalam keadaan kritikal, kata adik beliau, Mamat Khalid.

Mamat Khalid yng juga pengarah filem berkata, Lat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai di sini kerana wad biasa sudah penuh.

Beliau berkata, sebelum ini abangnya menjalani pemeriksaan di hospital tersebut selama tiga hari sebelum dibenarkan keluar pada Khamis.

"Namun dia datang semula ke hospital hari ini apabila merasa kurang sihat. Dia bukan kritikal atau kena serangan jantung, cuma dia dimasukkan ke ICU buat sementara waktu disebabkan wad biasa telah penuh.

"Keadaan dia elok, dia pun tak ada pakai wayar, dia boleh makan, boleh ketawa dan boleh bangun. Tadi dia sempat bagi tahu untuk ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakannya dan tidak perlu gusar kerana ini hanya pemeriksaan biasa.

"Saya harap orang faham bahawa keadaan dia lemah dan dia perlukan rehat secukupnya," kata Mamat Khalid.

Beliau berkata, Lat akan dipindahkan ke wad biasa pada Jumaat.

Menurutnya, abangnya yang berusia 65 tahun telah lama mempunyai masalah jantung namun bukan pada tahap kritikal. - Bernama