NAMPAKNYA kontroversi mengenai jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) yang tidak dibenarkan menghadiri Anugerah Juara Lagu (AJL) 31 baru-baru ini masih belum reda.
Utusan Online melaporkan, pengasas syarikat Vida Beauty itu bakal memikirkan tindakan untuk menarik balik tajaan dan iklan bersama stesen televisyen swasta itu susulan tersinggung selepas tidak mendapat jemputan untuk menghadiri AJL di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad lalu.
“Mereka halang saya ke AJL dengan alasan tidak mempunyai tempat duduk. Saya tidak boleh terima alasan tersebut. Apa yang dilakukan ini seolah-olah cuba menjatuhkan imej saya sebagai bekas penaja utama rancangan berkenaan.
“Buat masa ini, saya sedang meneliti perkara ini dengan lebih mendalam sebelum membuat apa-apa keputusan. Ini bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari,” katanya, baru-baru ini.
Jelasnya, tindakan itu bukan untuk meraih simpati atau mencari publisiti murahan sebaliknya mahu memberi pengajaran kepada pihak berkenaan supaya kejadian yang sama tidak berulang kembali.
Sebelum ini, Datuk Seri Vida menyelar tindakan TV3 yang menggunakan alasan tempat duduk terhad bagi ‘menghalangnya’ menghadiri program AJL 31 baru-baru ini.
Beliau menganggap alasan tersebut tidak profesional dan kecewa dengan tindakan TV3 yang seolah-olah tidak menghargai tajaan yang diberikan kepada stesen televisyen tersebut sebelum ini. –Kedahnews.com