ALOR SETAR - Sama seperti pasukan Johor Darul Takzim (JDT), skuad Hijau Kuning kini sudah 90 peratus lengkap untuk mengharungi Liga Malaysia 2017 dan hanya menanti satu lagi kekosongan kuota pemain import di barisan pertahanan pasukan.
Ketua Jurulatih pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, Ken Ilso Larsen merupakan pemain terbaru yang diikat untuk bersama skuad Helang Merah itu, selain Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva yang.
"Kita pun hampir lengkap dah, sudah 90 peratus macam JDT.
"Pemain import kita yang tiga pemain itu (Sandro Da Silva, Liridon Krasniqi dan Ken Ilso Larsen) memang sudah confirmed dah, cuma kita tunggu seorang lagi sahaja," kata beliau ketika dihubungi Kedahnew.com, di sini hari ini.
Katanya, dua pemain import dari Korea Selatan, Jang Suk Won dan Ahn Jae Hoon, difahamkan tidak dapat terus bermain dengan pasukan Kedah ekoran masalah peribadi dan telah pulang ke negara mereka.
Oleh itu, beliau sedang meneliti beberapa pemain dari Korea, Australia dan Uzbekistan untuk menggantikan satu lagi kuota pemain import di bahagian pertahanan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Bang Seung Hwan.
Mengulas mengenai prestasi Sandro yang akhir-akhir ini dikritik peminat sebagai masih menunjukkan kemampuan sebenar seperti sebelumnya, Tan menjelaskan bahawa pemain itu sedang membina kembali tahap kecergasan dan fizikal di dalam perlawanan.
"Dia (Sandro) bukan tak cergas, dia cergas. Dia cuma sedang bina match fitness. Fitness dalam training (latihan) lain, fitness dalam perlawanan (match) lain,
"Bagi sesetengah pemain masa training dia fit, tengah game dia cramp. Jadi banyak unsurlah dalam bola sepak ni (yang perlu dititik beratkan)," katanya mengulas prestasi penyerang sensasi Kedah itu.
Tan yang sebelum ini menerima pengiktirafan menerusi kategori Jurulatih Terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 berjanji akan berusaha lebih gigih untuk membawa lebih banyak kejayaan bagi pasukan Helang Merah.
"Saya perlu bekerja lebih keras dalam menambah kejayaan untuk Kedah pada musim hadapan apatah lagi kita berdepan dengan pasukan pasukan yang menyediakan bajet lebih besar daripada kita untuk mencari pemain yang hebat,"
"Kita perlu realistik jika mahukan semua piala namun dengan perkembangan semasa, saya tetap yakin kita dapat meningkatkan lagi keupayaan dalam memberi saingan lebih hebat pada musim 2017 nanti apabila kita juga mensasarkan kejuaraan Piala FA untuk musim hadapan sebagai syarat untuk ke Piala AFC.
"Segala usaha yang saya mulakan sejak menyertai Kedah pada 2014 lalu akan diteruskan dan kejayaan yang dikecapi sehingga kini juga adalah hasil dari sokongan pemain, KFA, kumpulan kejurulatihan saya dan penyokong.
"Saya berharap pemain tidak leka dengan kejayaan memenangi Piala Malaysia tahun ini dan sikap berpuas hati serta terlalu yakin perlu dibuang jika mahu terus memburu kejayaan." katanya.
Beliau diikat Kedah dengan kontrak setahun lagi musim ini setelah berjaya membawa Kedah menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu dan menjuarai Piala Malaysia 2016, sekaligus membawa pulang piala berprestij itu ke bumi jelapang padi. - Kedahnews.com