ALOR SETAR - Kerajaan Negeri hari ini meluahkan hasrat mengembalikan nostalgia "funfair" di negeri Kedah dengan penjenamaan baru, "Kedah FEST", yang menjadi tempat rakyat Kedah bertumpu khususnya di musim cuti sekolah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, rakyat Kedah tidak perlu lagi bersusah payah ke Pesta Pulau Pinang setiap tahun, sebaliknya boleh berkunjung ke Kedah FEST 2017 yang bakal diadakan pada tahun ini.
"Pada 1 Januari 2017 lalu, apabila saya melawat Karnival MBAS yang diadakan diperkarangan Stadium Darul Aman, lantas saya memikirkan betapa masyarakat di negeri ini tidak mempunyai banyak pilihan atau tempat yang boleh mereka kunjungi terutama di musim cuti.
"Jika Pesta Pulau Pinang dapat menarik penduduk Kedah dari Kodiang hingga ke Kulim, maka sudah sampai masanya nostalgia Funfair atau Pesta Kedah dikembalikan.
"Maka dengan itu, sepanjang November sehingga awal Disember, sebagai tarikan pengunjung dan usaha mencambahkan kegiatan perdagangan setempat, Pesta Kedah dengan jenama baru Kedah FEST 2017 dihidupkan semula," kata beliau ketika berucap di Dewan Seri Negeri, di sini hari ini.
Menteri Besar itu berkata, pihaknya telah mengenal pasti lokasi yang difikirkan sesuai untuk menjadi tapak lokasi Kedah FEST nanti iaitu di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti, di sini.
Justeru itu, beliau mengharapkan agar agensi berkaitan dapat membantu mempromosikan produk "rebranding" terbaru Kedah itu, selain dapat menjana pendapatan sampingan kepada rakyat tempatan untuk berniaga secara kecil-kecilan di tapak pesta itu nanti.
Walau bagaimanapun, Ahmad Bashah mengingatkan supaya setiap penganjuran Kedah FEST itu perlulah bersifat kekeluargaan, terkawal dan menepati kehendak agama, budaya serta nilai moral rakyat negeri Kedah.
"Kita mengharapkan agensi berkaitan dan urusetia kerajaan Negeri dapat mempromosikan Kedah Fest dengan pakej hiburan ringan, jualan, dan aktiviti santai bersifat kekeluargaan untuk semua.
"Aspek persembahan hiburan pula biarlah yang terkawal selain disulam dengan program lain bersifat kerohanian," ujar beliau lagi.
Selain dari rakyat Kedah, Menteri Besar itu turut mensasarkan pengunjung dari negeri di zon utara seperti Perlis, Seberang Perai Pulau Pinang dan Utara Perak untuk memeriahkan lagi tarikan di Kedah FEST yang bakal berlangsung selama sebulan itu.
"Kita mensasarkan Kedah Fest yang berlangsung selama sebulan atau lebih dapat menarik pengunjung termasuk dari Perlis, Seberang Perai Pulau Pinang serta Utara Perak," kata beliau, optimis dengan penjenamaan semula itu.
Ahmad Bashah menyampaikan amanat beliau menerusi Perutusan Menteri Besar Kedah bersempena tahun baru 2017 kepada kira-kira 1,000 kakitangan awam Kerajaan Negeri, Persekutuan, Agensi dan GLC negeri di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini pagi tadi. -Kedahnews.com