Kedah Kerajaan Negeri Pertama Umum Dasar Sifar Rasuah


ALOR SETAR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah menjadi kerajaan negeri pertama yang mengumumkan dasar Sifar Rasuah di kalangan pegawai pentadbir negeri dan kakitangan awam di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, dasar berkenaan adalah selaras dengan saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya penjawat awam negeri menjauhi amalan rasuah, korupsi dan lebih luhur ketelusannya.

"Secara tegas saya mahu menyatakan, imej pentadbiran negeri dan persekutuan yang ada di Kedah bukan sahaja perlu dilihat bersih, sifar rasuah, cekap lagi efisien.

"Malah kita mestilah menjauhi sebarang tindakan yang bercanggah dengan undang-undang," katanya kepada kira-kira 1,000 Pegawai Tadbir dan kakitangan awam Kerajaan Negeri, Persekutuan, Agensi dan GLC negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah menekankan bahawa semua pihak perlu memandang serius teguran dari SPRM dan menghindarkan diri dari suatu keadaan yang membolehkan unsur rasuah berlaku dengan mudah.

"Hari kerja tak payahlah main golf. Kalau hari cuti, riadah itu perlu.. tapi janganlah bawa kontraktor main bersama. Berkawan tak mengapa dan ikutlah teguran yang diberikan SPRM sebelum ini supaya terhindar perkara itu berlaku di negeri Kedah," jelas beliau pada sidang akhbar yang diadakan sejurus selepas majlis berkenaan.

Jelas beliau, pekeliling mengenai dasar tersebut akan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dan bakal diedarkan kepada seluruh jabatan, agensi dan GLC negeri dalam tempoh terdekat ini.

"Sebagai langkah pengukuhan integriti, larangan dikenakan bagi semua pegawai tinggi jabatan dan agensi negeri bermain golf di luar negara ataupun pakej bermain golf bersama kontraktor, pembekal atau orang berkepentingan semasa waktu pejabat

"Meritokrasi harus dijulang. Justeru laksanakanlah amanah dengan cara yang betul mengikut kaedah yang luhur.

"Integriti perlu dipertahan bagi mengukuh kredibiliti. Selain itu, jauhilah amalan rasuah, korupsi dan gaya hidup mewah sepertimana saranan Ketua Pesuruhjaya SPRM baru-baru ini," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ahmad Bashah turut menggesa mana-mana pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan atau rasuah membabitkan pegawai kerajaan negeri supaya melaporkan jenayah tersebut kepada SPRM beserta bukti-bukti kukuh.

Kata beliau, tindakan tersebut adalah amat penting bagi memastikan Kerajaan Negeri Kedah bersih dari sebarang kegiatan jenayah kolar putih itu dan menamatkan persepsi negatif di kalangan masyarakat terhadap Kerajaan Negeri serta kakitangan awam.

"Laporlah kepada SPRM, dia dok dakwa saja...

"Jika benar, kita minta dia tampil ke depan buat laporan," katanya mengulas desas-desus mengenai seorang kontraktor yang mendakwa tentang adanya pegawai kerajaan negeri yang meminta sogokan 5 peratus dari nilai projek yang diperoleh dari Kerajaan Negeri.

Ahmad Bashah hari ini menyampaikan Amanat Perutusan Menteri Besar Kedah bersempena tahun baru 2017 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini hari ini. -Kedahnews.com