Kem Motivasi Bogel: Saya Ingat Dia Orang Ini "Sakit"


ALOR GAJAH - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjuran kem motivasi yang mewujudkan modul berbogel di sebuah resort peranginan di Bentong, Pahang, kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tindakan penganjuran itu tidak sewajarnya dilakukan dan menyifatkan ia sebagai pemikiran kolot serta bertentangan dengan adat budaya negara Malaysia.

Menurutnya, ia perlu dipandang serius memandangkan sebelum ini rakyat mengutuk tindakan pelancong luar negara yang pernah melakukan aktiviti seumpama itu seperti yang berlaku di Sabah pada tahun 2015.

Katanya juga, tidak salah rakyat negara ini untuk mengikut budaya dan cara barat namun biarlah munasabah.

"Saya ingat dia orang ni 'sakit' , penyakit orang kata tak untung diadakan modul itu.

"Saya rasa kepala tak betul, dan saya kira orang anjurkan tu akan diambil tindakan, kerana ini bukan budaya kita, ini gila punya kerja," katanya.

Semalam, media melaporkan, 39 lelaki yang berbogel dalam satu aktiviti sukan di sebuah pusat peranginan di Bentong ditahan pihak polis.

Dalam kejadian kira-kira enam petang itu, peserta yang berumur antara 19 hingga 23 tahun berkenaan sedang melakukan satu aktiviti dalam sebuah kem motivasi yang dianjurkan oleh sebuah syarikat swasta.

Sumber: Sinar Harian