Kemesraan PAS, UMNO Beri Keuntungan Pada Rakyat – Nik Abduh

KUALA LUMPUR – PAS mengakui bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) merupakan badan politik yang mendapat kepercayaan rakyat teramai di negara ini walaupun parti itu tidak yakin dengan keupayaan UMNO dan BN menerajui negara selama ini.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, berdasarkan hakikat itu maka PAS bertindak profesional dan matang dengan mengingatkan dan menasihati UMNO BN tentang tanggungjawab mereka untuk merungkai permasalahan negara.

“Walaupun sukar dan sebahagian pembenci UMNO BN begitu ketara marahkan PAS, tetapi PAS konsisten dengan perjuangannya. Ia tidak berganjak daripada keberanian bersuara mewakili pandangan dan penyelesaian yang bersumberkan Al-Quran dan Sunnah.

“Bagi PAS, jika perubahan Islami berlaku, semua rakyat akan beroleh keuntungan tanpa mengira agama dan bangsa. Islam untuk semua. Tetapi sebagaimana Islam hari ini tersepit dengan pelbagai tohmahan dan fitnah, begitulah PAS,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu menerangkan, kemesraan yang sedang terjalin diantara PAS dan UMNO adalah usaha untuk menghilangkan kebencian sesama umat Islam dalam negara.

Kata beliau, PAS dan UMNO tidak mengalami sebarang kerugian dalam kemesraan itu, malah rakyat yang akan merasai laba dan keuntungan hasil daripada kemesraan kedua-dua parti terbesar kaum Melayu itu.

Justeru, beliau membidas pihak yang melemparkan tohmahan kononnya sikap terkini PAS itu bertujuan memberi `nyawa’ kepada UMNO sedangkan ia salah satu peranan PAS untuk menghubungkan dan bukan memutuskan perpaduan umat Islam negara ini.

Beliau dalam pada itu memberi peringatan kepada rakyat yang berhasrat melakukan perubahan dalam negara perlu menyedari bahawa serbarang perubahan mesti menepati maksud islah, pembaharuan dan perubahan yang dikehendaki oleh Islam.

“Ada perubahan negara di dunia hari ini yang membawa kejayaan dan ada juga yang gagal. Apatah umat Islam yang mesti hidup dengan panduan agama mestilah melihat kepada Islam.

“Jika tidak, jahiliyah baru akan bertapak dengan masalah-masalah baru akan timbul yang mungkin akan menyulitkan lagi keadaan,” katanya. –Kedahnews.com