Kenaikan Harga Boleh Buat Pembeli Getah Di Kuala Nerang Gulung Tikar

Kenaikan dan kejatuhan harga getah yang tidak menentu menyebabkan pembeli getah berlesen di daerah ini mengalami kerugian.
KUALA NERANG - Kenaikan harga tidak menentu boleh mengakibatkan ramai pembeli getah berlesen di daerah ini gulung tikar apabila perniagaan mereka kian terjejas, sejak akhir-akhir ini.

Pembeli getah berlesen, Syed Ibrahim Syed Omar berkata, kenaikan harga getah memberi rahmat kepada penoreh, namun kenaikan dan kejatuhan harga di pasaran sekarang sangat tidak menentu.

Menurutnya, harga mula tidak menentu sejak 2012 apabila peratus kenaikan sangat sedikit berbanding semasa kejatuhan harga.

“Ramai pembeli berlesen menghadapi masalah ini dan turut kerugian apabila harga jatuh terutama semasa mereka jual ke kilang pada waktu petang. Masalah itu tidak ditanggung penoreh yang jual kepada pembeli berlesen.

"Walaupun kejatuhan harga hanya beberapa sen, tetapi bagi pembeli getah, ia mampu  memberi kerugian hingga beribu ringgit. Inilah risiko dihadapi pembeli getah berlesen sekarang,” katanya.

Menurut Syed Ibrahim, keadaan seumpama itu tidak pernah berlaku menyebabkan pembeli getah berlesen sentiasa peka dengan masalah harga setiap masa.

Katanya, keadaan harga yang tidak menentu bukan sahaja menyebabkan mereka akan kerugian, tetapi juga kecewa dengan harga yang tidak stabil.

“Bayangkan kami bawa getah berpuluh tan ke kilang dengan harapan dapat jual pada harga lebih baik selepas beli daripada penoreh. Bagaimanapun bila sampai di kilang, kami dimaklumkan harga getah jatuh dan ini menyebabkan pembeli kecewa dan terpaksa menanggung kerugian,” katanya.

Syed Ibrahim  berkata, keadaan harga getah yang tidak menentu juga menyebabkan kilang besar mulai turun dengan membuka cawangan mereka di setiap daerah.

Menurutnya, pembukaan cawangan mereka itu sudah pasti akan memberi kesan kepada pembeli getah berlesen di kampung kerana pengilang tersebut mampu mengganggu harga getah semasa.

"Saya harap Lembaga Getah Malaysia dapat membantu pembeli getah berlesen supaya boleh menstabilkan harga setiap masa agar mereka tidak mengalami kerugian. Jika masalah ini tidak dapat diselesaikan, sudah pasti ramai pembeli getah berlesen bumiputera akan gulung tikar.

"Saya juga mengalu-alukan pembeli getah berlesen supaya dapat menyertai Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) supaya harga getah dapat diselaraskan di semua daerah,” katanya yang juga timbalan PUGBM.

Menurut seorang lagi pembeli getah berlesen, Nazri Abu Bakar, 38, keadaan harga yang tidak menentu menyebabkan ramai pembeli getah mengalami kerugian.

Katanya, umpamanya bulan lalu, dia membeli getah daripada penoreh pada harga RM4.10 sekilogram (kg) dan apabila hantar ke kilang, tiba-tiba harga jatuh kepada RM3.90.

“Peristiwa itu menyebabkan saya mengalami kerugian kira-kira RM6,000. Jika masalah ini sering berlaku, sudah pasti perniagaan getah negara pada masa hadapan akan terjejas,” katanya.

Sumber: Sinar Harian