"Kenapa Kit Siang Takut Hendak Saman Tunku Aziz?"


KUALA LUMPUR - Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyaman media arus perdana, tidak menjawab tuduhan pakatan sulit pemimpin DAP itu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menobatkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, usaha menyaman media adalah sekadar untuk mengalih perhatian rakyat, khususnya ahli DAP bagi membuktikan kononnya pakatan sulit itu tidak wujud.

Beliau berkata, jika benar Kit Siang mahu menafikan dakwaan itu, beliau perlu menyaman individu bertanggungjawab membuat pendedahan tersebut iaitu bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Datuk Sohaimi Shahadan
"Apatah lagi, Tunku Abdul Aziz sendiri sudah menyatakan kesediaan untuk disaman oleh pemimpin DAP itu, mahupun Mahathir. Kenapa Kit Siang takut hendak saman Tunku Aziz, apakah bimbang tembelangnya itu yang tanpa pengetahuan PKR terbongkar," ujarnya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Katanya, tindakan Kit Siang itu sekadar mengaburi mata rakyat dan penyokongnya kerana semua maklum DAP dan pembangkang sudah berjaya menanam sentimen kebencian terhadap media arus berkenaan.

Persoalannya, kata Sohaimi, kenapa Kit Siang perlu menyaman media secara terpilih sedangkan banyak lagi media mahupun portal berita menyiarkan perkara tersebut.

"Kenapa Kit Siang tidak menyaman semua media lain yang turut menyiarkan artikel itu. Kit Siang sebenarnya takut bayang-bayangnya sendiri. Beliau takut penipuannya terbongkar.

"Selama ini beliau kononnya mengangkat Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon perdana menteri pembangkang, namun temberang itu didedahkan Tunku Aziz," katanya.

Beliau berkata, Kit Siang juga takut jika pakatan sulit itu didedahkan kerana beliau sedar kedudukannya dalam DAP tidak selamat.

Sumber: Sinar Harian