Tidak tahulah hendak cakap macam mana lagi bila makanan kegemaran ramai ini bertukar wajah jadi seumpama najis. Bayangkan keropok lekor yang asal boleh diubah jadi serupa tahi?
Sekali pun konon mahu gaya ala hipster sangat akibat ramai rakyat Malaysia terpengaruh tidak dapat lari daripada terjebak dengan gejala hipster, tetapi janganlah ditukar bentuk asal keropok lekor tu menjadi seperti najis.
Gejala popular Barat yang semakin ‘meruncing’ melanda generasi muda itu kini malah tercemar apabila makanan tradisional tempatan pun telah dijadikan ‘mangsa’ hipster tetapi dengan penampakan jijik semacam tahi manusia!
Jika sebelum ini, beberapa makanan popular rakyat seperti nasi lemak, roti canai dan sebagainya pernah dijadikan ‘mangsa’ hipster konon peniaga dikatakan terpaksa akibat desakan pasaran, tetapi kes kali ini jauh lebih biadap.
Ia jadi tular menerusi media sosial apabila netizen mengkritik penjualan keropok itu yang dihidangkan dalam mangkuk jamban. Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada sahih atau tidak dan di mana ia berjaya dijual.
Bagaimanapun seorang pengguna di laman sosial telah berkongsikan gambar keropok itu dan isu tersebut turut disiarkan beberapa portal berita tempatan yang memetik kenyataan luahan kesal daripada netizen berkenaan.
“Keropok lekor hipster katanya. Jangan tanya kakak di mana lokasi sebab saya sendiri pun tidak tahu,” tulisnya yang hanya mahu dikenali sebagai Nor Nabila dan menetap di Kuala Lumpur apabila berkongsikan foto tersebut.
Namun begitu, ada beberapa pengguna laman sosial yang kurang senang apabila dimaklumkan dengan dakwaan bahawa keropok lekor ala hipster seperti tahi itu telah mula dijual sehingga mencetuskan kemarahan ramai netizen.
Keropok lekor memang cukup terkenal di Terengganu dan Kelantan malah kebanyakan dihasilkan di negeri Pantai Timur itu kerana rasanya yang kenyal selepas panas digoreng selain keropok keping biasa yang rangup dikunyah.
Bagaimanapun tinjauan mendapati seorang pengguna media sosial dan kebetulan merupakan rakyat Terengganu telah menafikan dakwaan konon keropok lekor ‘hipster’ seperti itu telah dijual berleluasa di pasaran Malaysia.
Malah, pengguna tersebut yang tiada nama dan dipetik portal berita mendakwa ia bukanlah makanan Malaysia sebaliknya banyak dijual di Thailand selain ada pihak cuba memburuk-burukkan nama keropok lekor Terengganu.
“Saja la ni hendak menjatuhkan makanan orang Terengganu. Tak ada makna keropok lekor hipster, ini bukan di Malaysia. Macam dijual di Thailand, tengok tanda harga di bakul tu ada huruf B merujuk mata wang baht,” katanya.
Jika betul keropok lekor hipster ini ada dijual di Malaysia, rasanya tidak ramai rakyat Malaysia yang akan membeli keropok lekor seperti ini, dengan lihat pada rupa keropok ini sahaja amat jijik. – Agensi