Kes Dera Di Taska: Empat Wanita Ditahan Reman


KUALA LUMPUR - Empat wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tiga kanak-kanak yang diikat dan dipercayai didera di sebuah taska di Bangi dekat sini direman sehingga Ahad.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata empat wanita yang ditahan terdiri daripada tiga pekerja dan seorang pemilik taska berkenaan.

Dua hari lepas, gambar kanak-kanak berkenaan yang diikat kaki dan tangan serta mulut mereka ditutup di sebuah taman asuhan kanak-kanak di Bangi dekat sini, tersebar di laman sosial.

Tiga pekerja dan pemilik taska itu ditahan petang Sabtu.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di hospital mendapati kanak-kanak terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata kes itu disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

"Kami akan meneruskan siasatan dan menyelesaikan kes ini secepat mungkin," katanya. - BERNAMA