Kesal Sikap Takbur Melampau Mahathir Semata-Mata Kerana Politik


ALOR SETAR - Sikap takbur keterlaluan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad amat dikesali ekoran tergamak mengeluarkan kenyataan menghina ibadah haji hanya kerana semata-mata kerana politik.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, penilaian ibadah setiap hamba Allah itu hanya layak dinilai oleh Allah SWT sahaja, bukan terletak pada penilaian makhluk.

"Beliau tidak boleh bersikap takbur dengan menentukan status ibadah haji seseorang kerana setiap ibadah hanya mampu ditentukan oleh-NYA sahaja,

"Kelantangan beliau yang melampaui batas mungkin didorong atas sebab-sebab politik," kata beliau dalam satu kenyataan.


Justeru itu, Dr Irmohizam menyarankan agar bekas Perdana Menteri itu supaya menarik balik kenyataan tersebut, sekaligus merendah diri memohon maaf secara terbuka kepada para jemaah haji tajaan Yayasan 1MDB atas ketelanjuran kata-katanya itu.

“Tuduhan tersebut sangat besar dan perlihatkan segala kebaikan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib, semuanya tidak diterima ALLAH SWT,

"Saya berharap agar Tun Mahathir dapat menarik semula dakwaan tersebut dan memohon maaf kepada jemaah Haji di bawah tajaan Yayasan 1MDB kerana ramai jemaah haji dari parlimen Kuala Selangor yang terguris dengan tuduhan tersebut," ujarnya, memetik Sinar Harian.

Beliau turut khuatir sekiranya kenyataan bersifat melampau Dr Mahathir seperti itu lama-kelamaan akan melenyapkan segala jasa beliau ketika bersama Barisan Nasional selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri dahulu.

"Kita tidak mahu segala jasa Tun Mahathir sebelum ini akan hanya dilupakan begitu sahaja akibat terlalu takbur dan ekstrem dalam mempertikaikan sesuatu kebaikan yg dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional," katanya lagi.

Dr Mahathir sebelum ini mengundang kemarahan ramai apabila mendakwa status ibadah Haji yang ditunaikan melalui tajaan di bawah Program Khas Perdana Menteri, Yayasan 1MDB adalah tidak mabrur.

Selain itu, Pengerusi PPBM itu turut menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberi atas inisiatif Perdana Menteri kepada golongan berpendapatan rendah sebagai "rasuah" untuk terus menyokong BN, lantas mencetus rasa tidak puas hati di kalangan rakyat. -Kedahnews.com