Kit Siang Celaru Sebab "Cinta Tak Berbalas" - PAS


ALOR SETAR - PAS mengibaratkan keadaan Lim Kit Siang sebagai "cinta tidak berbalas" sehingga menyebabkan Penasihat DAP itu mahu mengambil tindakan saman terhadap Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sikap berkenaan adalah bertentangan dengan sikap Kit Siang sebelum ini yang kononnya menghulurkan 'salam damai' terhadap PAS untuk menarik parti itu menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan.

"Saya tengok beliau (Kit Siang) dalam keadaan yang bercelaru.

“Sebelum ini hulurkan tangan mengajak Pas bekerjasama, mungkin lepas kita tolak ajakan itu ia jadi seperti ‘cinta tidak berbalas’,” katanya hari ini.

Justeru itu, Tuan Ibrahim menyindir Kit Siang dengan menyatakan bahawa keadaan itu membuktikan bahawa veteran DAP itu sedang berada di dalam suasana yang bercelaru ekoran pendiriannya yang tidak tetap dan berubah-ubah terhadap PAS.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang diusulkan Presiden PAS sebelum ini adalah kehendak agama Islam dan bukannya kehendak politik PAS.

Lagipun katanya, pindaan bagi RUU berkenaan bukanlah suatu perkara baru di negara Islam ini dan tindakan DAP yang membantah RUUN tersebut memungkinkan parti itu layak dianggap sebagai anti-Islam.

"Di sini mungkin maksud Presiden PAS adalah kerana tindakan Lim Kit Siang yang menentang RUU 355," ujar beliau, memetik laporan portal Sinar Harian.

Kit Siang sebelum ini menghulurkan "salam damai" kepada PAS dalam usaha parti itu menarik PAS untuk menyertai Pakatan Harapan, sekaligus membubarkan Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS sebagai blok ketiga pembangkang.

Namun pelawaan DAP itu diherdik Abdul Hadi sebelum ini mengaitkan DAP sebagai sebuah parti yang bersifat anti-Islam dan sikap Kit Siang tersebut hanyalah semata-mata untuk memecah-belahkan lagi parti Islam tersebut.

Reaksi Abdul Hadi itu kemudiannya telah menyebabkan Kit Siang berura-ura untuk mengambil tindakan saman terhadap Abdul Hadi. -Kedahnews.com