Kit Siang Kata Abdul Hadi Tiada Karekter Pemimpin PAS


KUALA LUMPUR – DAP mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang langsung tidak menonjolkan karakter sebagai seorang pemimpin PAS dalam isu segilintir umat Islam dihalang memasuki Amerika Syarikat (AS).

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa, Abdul Hadi berdiam diri berhubung tindakan Presiden AS, Donald Trump mengenakan sekatan masuk kepada pelancong dari tujuh negara Islam selama 90 hari bermula semalam.

“Karakter Abdul Hadi itu lari sepenuhnya daripada watak kepimpinan PAS yang akan menjadi yang pertama mengutuk perkara seperti itu,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.

Kit Siang turut mendakwa sikap Presiden PAS itu menandakan keintiman politik dan kerjasama dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau dalam pada itu menyelar Najib kerana mengutuk pembunuhan kejam umat Islam di Myanmar, tetapi didakwa tidak bersuara apabila Trump menghalang rakyat tujuh negara Islam memasuki AS.

Pemimpin Pakatan Harapan termasuk Kit Siang sejak beberapa hari lalu menyerang hebat PAS gara-gara parti itu menolak pujukan mereka supaya bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

PAS yang disingkirkan daripada pakatan pembangkang dua tahun lalu kerana enggan berkompromi dalam beberapa isu akidah Islam menolak pujukan itu kerana menyifatkan DAP yang mengetuai Pakatan Harapan sebagai anti-Islam. – Kedahnews.com