Kit Siang Kata "Salam Damai" Kepada PAS Bukan Pura-Pura

Lim Kit Siang (Kiri)
ALOR SETAR - Penasihat DAP yang selama ini giat menghentam PAS mendakwa "salam damai" yang beliau hulurkan kepada parti Islam itu bukan hipokrasi atau sekadar berpura-pura.

Katanya, "salam damai" itu dihulurkan bagi menewaskan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini beliau sifatkan membawa masalah kleptokrasi di negara ini.

"Berhubung dakwaan DAP bersikap hipokrit sekiranya kami kembali bekerjasama dengan PAS, saya serahkan kepada orang ramai untuk menilainya.

"Kita boleh berbeza pendapat, tetapi isu terbesar besar sekarang ialah sama ada kita boleh membebaskan diri daripada cengkaman kleptokrasi," katanya semalam, memetik laporan dari sebuah portal pro-pembangkang terkenal.

Kelmarin, Kit Siang dilapor telah menghulurkan "salam damai" dan kesediaan dirinya untuk kembali bekerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang pernah beliau label sebagai "pengkhianat".

Walau bagaimanapun, seteru utama politik yang kini menjadi rakan baik Kit Siang, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan kepada media Singapura menegaskan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memutuskan untuk menutup pintu kepada PAS.

PAS sebelum ini menegaskan pihaknya tidak akan sesekali bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) meskipun telah dipujuk dua parti berkenaan sebelum ini. -Kedahnews.com