Kita Demokrasi, Mukhriz Bebas Bertanding Di Jerlun - Othman Aziz


ALOR SETAR - Malaysia merupakan sebuah negara yang subur dengan amalan demokrasi dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dato' Seri Mukhriz Mahathir berhak untuk bertanding di kerusi mana sekali pun yang beliau mahu.

Naib Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Dato' Othman Abdul Aziz berkata, biar di mana saja Mukhriz bertanding, beliau dan kepimpinan UMNO Bahagian itu akan tetap bekerja keras untuk rakyat di kawasan parlimen berkenaan.

"Saya tak kisah, itu hak dia (Mukhriz) untuk bertanding. Saya melihat negara ini adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

"Tapi bagi pihak kami, saya bersama dengan Dato' Abu Hassan Sarif, kepimpinan Bahagian dan ahli-ahli jawatankuasa, kita bekerja siang dan malam bertemu dengan rakyat, menyelesaikan masalah-masalah rakyat," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Othman diminta mengulas mengenai desas-desus yang mengatakan berkemungkinan besar bekas Menteri Besar Kedah itu akan bertanding di kerusi Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Mengulas lanjut, Othman yang juga merupakan Timbalan Menteri Kewangan itu menjelaskan bahawa biar apa pun kemungkinan, seluruh warga UMNO di Bahagian tersebut akan terus memberikan khidmat terbaik buat masyarakat di parlimen berkenaan.

Kata beliau, pihaknya selama ini sememangnya bertungkus lumus bekerja keras dan sedaya upaya cuba menyelesaikan setiap permasalahan rakyat di sana dan yakin para pengundi akan tetap memilih Barisan Nasional (BN) pada PRU yang dijangka berlangsung tahun ini.

"Kita tidak janjikan sesuatu yang kita tak boleh nak buat, dan kita akan cuba menyelesaikan sebanyak mungkin masalah sedaya upaya yang kita mampu buat untuk rakyat. Mana-mana yang kita tidak mampu, kita akan bawa ke pihak atasan untuk cuba diselesaikan.

"Saya yakin rakyat memahami dan saya yakin rakyat akan menyokong kita," ujar beliau.

Mengulas mengenai hasil pertemuan tertutup Perdana Menteri dengan barisan kepimpinan UMNO Kedah di TH Hotel petang tadi, Othman menjelaskan bahawa Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak turut menyampaikan harapan beliau menjelang PRU ke-14.

"Beliau (Mohd Najib) mengharapkan supaya kita semua bersiap sedia, menggerakkan jentera pilihan raya, yang penting sekali adalah kita kena pastikan kenal pasti kerusi-kerusi yang ada, tambah mana-mana yang boleh tambah.

"Kerjasama berpasukan di antara semua kepimpinan empat peringkat, kena rancang gerak kerja secara lebih sistematik dan tumpuan khusus terutama sekali dari sudut penambahan pengundi-pengundi baru dan sebagainya.

"Beliau yakin kita (UMNO Kedah) mampu menyempurnakan amanah dan tugas bagi memastikan UMNO Kedah dan BN kekal sebagai kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat," kata beliau mengenai pertemuan tersebut.

Menjelaskan persediaan UMNO Kedah bagi menghadapi PRU ke-14, Ahli Parlimen Jerlun itu menyatakan bahawa moral kepimpinan UMNO di negeri itu kini berada di tahap yang tinggi dan amat positif untuk mengekalkan status quo sebagai kerajaan negeri.

Jelasnya, suasana yang harmoni dan ceria terserlah di kalangan kepimpinan UMNO Kedah dan beliau yakin UMNO mampu mencapai matlamat yang diharapkan Mohd Najib.

"Kita sedang bekerja kuat ke arah itu (persediaan menghadapi PRU ke-14). Dari segi pertambahan pengundi pun kita buat kerja, dari segi semangat di kalangan kepimpinan UMNO Kedah amat terserlah, begitu ceria.

"Kita tidak dengarlah sesuatu yang boleh menyebabkan persiapan ke arah PRU ini terbantut. Mungkinlah ada sedikit sebanyak masalah kecil, kita akan selesaikan dengan baik. Tapi secara umumnya kita mempunyai semangat yang sangat tinggi.

"Saya yakin kalau semangat ini dapat kita kekalkan dan kita buat kerja dengan bersungguh-sungguh, maka insyaAllah kita boleh capai sasaran pada PRU ke-14 nanti," katanya lagi. -Kedahnews.com