Lawatan Perdana Menteri Suntik Keyakinan Kepada UMNO, BN Kedah - Suraya

Suraya menerima buku "Merintis Muafakat Kedah" dari Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Dewan Seri Negeri, di Wisma Darul Aman, semalam.
ALOR SETAR - Terdapat dua impak utama hasil dari pertemuan kepimpinan UMNO Negeri dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam lawatan kerja sehari beliau di negeri Kedah baru-baru ini.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaakob berkata, perkara pertama adalah dengan memberi keyakinan kepada Perdana Menteri tentang kesiapsagaan UMNO Negeri Kedah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Manakala impak yang kedua adalah meyakinkan rakyat bahawa negeri Kedah akan sentiasa mendapat perhatian dan "dijaga" Kerajaan Pusat dalam memacu pembangunan dan memastikan negeri Jelapang Padi agar terus makmur sejahtera.

"Impak utamanya adalah memberi keyakinan kepada Perdana Menteri bahawa Kedah bersedia menghadapi pilihan raya dan keduanya, keyakinan kepada rakyat bahawa Perdana Menteri sentiasa menjaga Kedah," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Suraya menjelaskan bahawa setelah melakukan pertemuan tertutup dengan kepimpinan UMNO Negeri pada Isnin lalu, Perdana Menteri kini yakin dengan persediaan yang sedang rancak dilaksanakan, sekaligus menandakan UMNO Negeri serius berjuang mempertahankan kemenangan di Kedah pada PRU yang bakal hadir tidak lama lagi.

"Pada masa yang sama setelah mengadakan pertemuan tertutup, saya yakin Perdana Menteri juga yakin dengan kekuatan BN Kedah. Selain itu, beliau melihat begitu ramai yang datang untuk bersama dengan beliau di beberapa tempat tersebut," katanya.

Keduanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang itu menegaskan bahawa dengan keprihatinan dan harapan Mohd Najib kepada UMNO Kedah untuk mengekalkan kemenangan, Suraya yakin bahawa beliau akan "menjaga" negeri ini sebaik-baiknya.

Jelasnya, selain komitmen Kerajaan Negeri, kesungguhan Kerajaan Pusat membantu memakmurkan Kedah dengan menunaikan janji manifesto pada PRU yang lalu menandakan Kedah sentiasa di hati Perdana Menteri.

"Perkara kedua adalah mengenai beberapa akujanji Perdana Menteri dan kepimpinan BN Kedah dapat dipenuhi di negeri Kedah seperti menyampaikan rumah PR1MA yang pertama untuk Malaysia juga di Kedah.

"Ada beberapa lagi akujanji yang dipenuhi terutamanya seperti hospital, pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Ini adalah perkara-perkara yang memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Barisan Nasional, kerajaan yang sedia ada boleh menjadi payung kepada rakyat kerana memenuhi semua manifesto yang dijanjikan," ujar Ketua Wanita UMNO Bahagian Pendang itu lagi.

Ditanya sama ada Perdana Menteri cuba menabur janji manis di sepanjang lawatan beliau, Suraya menegaskan bahawa ia bukan menjadi amalan Mohd Najib untuk berbuat demikian dan beliau hanya akan cuba yang terbaik buat rakyat di negeri Kedah.

"Saya tak nampak pun janji manis. Kita memohon untuk taraf universiti penuh bagi Kolej Universiti Insaniah (KUIN), tapi beliau kata jika penuhi syarat pastinya diberi," katanya.

Sementara itu, Suraya turut mendedahkan bahawa tiada sebarang perbincangan diadakan berhubung pemilihan calon pilihan raya di dalam pertemuan tertutup yang berlangsung di TH Hotel baru-baru ini.

Katanya, perbincangan hanya berkisar tentang tahap persediaan UMNO Kedah dalam menghadapi PRU yang hangat dikatakan akan berlangsung pada tahun ini.

"Kita tidak bincang hingga ke soal calon dengan Perdana Menteri, langsung tidak ada. Kita hanya bercakap mengenai kesiapsiagaan jentera dan rakyat.

"Jentera Wanita UMNO sudah pun bersedia di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah, kita beri penerangan yang lebih baik kepada pengundi-pengundi dan kesediaan untuk melihat kepada keperluan rakyat di bawah," jelas beliau.

Exco Kerajaan Negeri Kedah itu diminta mengulas mengenai impak lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Kedah baru-baru ini, termasuk majlis pertemuan tertutup Mohd Najib dengan kepimpinan utama UMNO Kedah dan ketua-ketua sayap parti pada 16 dan 17 Januari, baru-baru ini. -Kedahnews.com