"Lazy Sofa" Beri Pendapatan RM1,000 Sehari Di Tepi Pantai


KUANTAN - Hanya dengan menyewakan beg udara dipanggil ‘lazy sofa’ kepada pengunjung ke Teluk Chempedak, di sini, seorang pemuda mampu memperoleh pendapatan lumayan RM1,000 setiap hari.

Lazy sofa yang boleh memuatkan hingga empat orang itu perlu dipam sebelum digunakan dan membolehkan pengunjung berehat secara santai di pantai berkenaan sambil menghirup udara segar.

Menurut Norraimi Aman, 28, pada mulanya dia mempunyai 20 lazy sofa sejak Julai tahun lalu, namun kini perkhidmatan disediakannya mempunyai 100 sofa.

Katanya, idea itu tercetus apabila melihat potensi perkhidmatan itu yang masih belum wujud di pantai berkenaan serta kehadiran pengunjung yang menggalakkan memberi keyakinan kepadanya ia mendapat sambutan.

“Saya lihat pengunjung duduk di atas pasir ketika menghirup udara di pantai ini. Ketika itu saya membawa sendiri ‘lazy sofa’ ini dan ramai yang tanya di mana saya mendapatkannya. Daripada situ saya terfikir sediakan perkhidmatan ini,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Norraimi mengakui mampu memperoleh pendapatan sehingga RM1,000 sehari bergantung kepada cuaca dan hari.

“Saya menyediakan perkhidmatan ini bermula jam 4 petang hingga 3 pagi setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Jika keadaan cuaca baik, sambutannya amat menggalakkan dan setakat ini ramai berpuas hati dan teruja kerana dapat bersantai dengan lebih selesa di tepi pantai dengan sofa ini,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan ini dapat memberikan kemudahan buat pengunjung untuk berehat, selain menjadi tarikan terbaru di pantai berkenaan yang popular di kalangan pelancong tempatan dan luar.

“Saya gembira kerana dengan adanya perkhidmatan ini dapat memberikan keselesaan kepada orang ramai untuk bersantai bersama keluarga dan rakan.

“Bagaimanapun, setakat ini saya belum bercadang memperluaskan perkhidmatan di lokasi lain di daerah ini dan hanya fokus di kawasan peranginan ini,” katanya.

Sumber: myMetro