LG Tayang Teknologi Speaker Terapung, Tahan 10 Jam


INGAT lagi semasa kecil, jika disuruh bayangkan masa hadapan pasti ada di kalangan kita yang membayangkan kereta atau rumah terapung yang terbit dahulu di dalam minda?

Kini, teknologi ‘terapung’ itu semakin menonjol dengan terciptanya satu produk seperti katil dan speaker terbaru keluaran LG ini.

Alat pembesar audio ini mampu terapung terima kasih kepada teknologi elektromagnet yang mempunyai ketahanan bateri sehingga 10 jam, menurut syarikat elektronik itu.

Produk ini didatangkan dalam dua bahagian iaitu tapak dan unit speaker itu sendiri.

Tapak speaker tersebut mempunyai dwifungsi iaitu sebagai subwoofer atau speaker nada rendah yang mampu menghasilkan bunyi bass yang lebih baik, dan juga sebagai pengecas bagi unit pembesar bunyi itu.


Tapi, speaker itu tak jatuh ke jika kapasiti baterinya sudah menurun?

Tidak, kerana teknologi terbaru inovasi LG ini akan memastikan speaker tersebut untuk perlahan-lahan turun dan ‘melekatkan’ dirinya ke unit tapak secara automatik untuk dicas semula.

Bukan itu sahaja, malah speaker itu akan terus memainkan muzik semasa ianya dalam proses untuk turun ke tapak pengecas dan juga semasa dicas.

Namun, tiada maklumat selanjutnya diberikan oleh pihak LG bagi harga atau tarikh pelancarannya kerana produk ini hanya akan ditayangkan kepada umum di dalam Pameran Elektronik Pengguna (CES) di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat, minggu hadapan. – Kedahnews.com