Mahfuz Persoal Kerajaan Negeri Tentang Peruntukan Marris


ALOR SETAR – Peruntukan kerajaan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) kepada Kedah terus dipersoal ekoran tiada sebarang kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan di sekitar negeri ini khususnya di kawasan pusat bandar Alor Setar.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sudah terlalu lama banyak jalan yang tidak diselenggarakan dengan baik sehingga mendedahkan pengguna  risiko kemalangan jalan raya.

“Saya tidak tahu apa yang dibuat dengan peruntukan Marris yang telah pun diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

“Saya cukup kecewa dengan kerajaan negeri setelah sekian lama saya lihat jalan-jalan ini dibiarkan. Banyak aduan yang kami dapat, maknanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada program edar buah limau sempena sambutan Tahun Baru Cina bersama Adun Derga, Tan Kok Yew di Pasar Pagi Taman Derga Jaya, di sini, kelmarin.

Menurutnya, isu itu boleh dilihat dengan lebih jelas terutama di Jalan Langgar hingga ke persimpangan Hutan Kampung.

“Begitu juga kawasan-kawasan jalan PBT ataupun jalan negeri tidak diselengara dengan begitu baik sedangkan peruntukan Marris telah disalurkan kepada kerajaan negeri.

“Ada juga jalan-jalan luar bandar yang berlubang dan ada yang masih belum bertar sedangkan yang dicanang kononnya ekonomi kita membangun, tetapi hakikatnya kita masih ketinggalan dari segi jalan-jalan yang ada dalam Kedah,” katanya.

Sementara itu, Adun Derga, Tan Kok Yew turut menzahirkan kebimbangan sekiranya peruntukan Marris yang seharusnya digunakan untuk menyelenggarakan jalan digunakan untuk tujuan lain.

“Duit peruntukan itu kononnya ada tapi saya tak tahulah adakah duit itu memang sudah disalurkan atau digunakan untuk tujuan lain.

“Kita nak kerajaan negeri bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah lihat balik semua peruntukan ini supaya digunakan secara terus dan pastikan setiap sen yang digunakan berbalik kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau juga mempertikai keadaan perparitan di Jalan Langgar yang merupakan jalan utama di bawah kerajaan persekutuan khasnya di Batu 2 yang tidak menggunakan sistem perparitan konkrit.

“Adakah itu mengikut spesifikasi yang betul? Ini saya rasa kena bagi peruntukan khas untuk lebarkan jalan. Kalau tidak, setiap kali hujan di Batu 2 air akan cepat bertakung dan menyebabkan kesesakan jalan raya serta mudah terdedah kepada kemalangan jalan raya,” katanya.

Pada perkembangan lain, Pengerusi DAP Kedah itu juga mengharapkan supaya pihak Majlis Bandaraya Alor Setar dapat melakukan penyelenggaraan terhadap pokok-pokok yang terlalu tinggi sehingga mengenai wayar di tepi jalan dan berdekatan rumah penduduk.

“Kalau ada pokok yang tinggi itu, kena tebang dan bersihkan. Masalahnya bila kita buat Adun kepada MBAS, mereka kata ini tugas TNB (Tenaga Nasional Berhad). Bila minta tolong TNB, mereka kata ini tugas MBAS. Jadi siapa yang nak bertanggungjawab.

“MBAS kena pastikan semua pokok yang ditanam itu diselenggara ikut jadual yang sepatutnya dan pastikan ranting-ranting pokok tidak terlalu lebat sehingga boleh menyebabkan wayar putus dan pokok tumbang kalau berlaku ribut,” katanya.

Kok Yew berkata, perkara sama juga berlaku kepada masalah perparitan tersumbat di sekitar Alor Setar.

“Bila masalah perparitan berlaku, MBAS kata ini bukan bawah bidang mereka dan mendakwa tugas Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan begitu juga sebaliknya.

“Kita tak tahu apa yang nak buat. Kita kena selaraskan supaya semua masalah ini dapat diuruskan dengan baik. Kalau tak selesai isu perparitan ini, ia akan mengakibatkan banjir,” katanya.

Sumber: Sinar Harian