Soalan: Apakah hukumnya jika majikan saya tidak menunaikan solat Jumaat sedangkan dia mampu dan tidak berpenyakit. Dia berniaga kedai makan seperti orang biasa ketika solat Jumaat.
Apakah gaji dan makanan yang saya makan di kedai tersebut haram walaupun saya pergi menunaikan solat Jumaat?
Waiter, Kuala Lumpur.
Jawapan UKE:
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi Allah daripada Hari Raya Adha, Hari Raya Fitrah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Ini menunjukkan keistimewaan hari Jumaat yang kita umat Islam sepatutnya tidak boleh abaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang fardu Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu’ah: 9).
Bagi Mazhab Syafie adalah haram ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardu Jumaat berurusan dengan urusan jual beli selepas azan kedua sembahyang fardu Jumaat dan khatib duduk di atas mimbar.
Namun akad jual-beli yang dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang pada hari Jumaat itu adalah sah.
Ini kerana larangan itu tidak ada kaitannya dengan kesahihan akad akan tetapi disebabkan kelekaannya berurusan jual-beli dan perbuatan melengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardu Jumaat.
Sungguhpun jual-beli itu sah, namun perbuatan demikian dilarang, malah mereka yang tidak diwajibkan sembahyang Fardu Jumaat pun berdosa apabila dia bermuamalat bersama mereka yang diwajibkan sembahyang fardu Jumaat.
Maka yang berdosa ialah tauke kedai anda dan usahakanlah untuk dia bersolat Jumaat.
Dakwahlah dia perlahan-lahan agar dia meninggalkan yang haram. Saya bimbang hasil perniagaan yang tak berapa cantik dengan berniaga ketika waktu solat pada hari Jumaat itu.
Sumber: Utusan