Mamat Khalid Syukur Datuk Lat Makin Stabil


MAMAT Khalid melahirkan rasa syukur dengan kesihatan abangnya, kartunis Datuk Lat yang semakin stabil.

Lat atau nama sebenarnya, Datuk Mohammad Nor Khalid, 65, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pantai Ipoh pada 13 Januari lalu akibat masalah jantung.

Mamat Khalid ketika dihubungi Astro Gempak berkata, abangnya kini sedang berehat dan semakin stabil.

“Syukur Alhamdulillah, abang saya semakin sihat dan dia sedang berehat,” jawabnya ringkas.

Terdahulu Bernama melaporkan Lat dimasukkan ke Hospital Pantai, Ipoh minggu lepas kerana masalah jantung namun dibenarkan keluar Selasa lalu, sebelum dimasukkan semula ke hospital yang sama pada Jumaat dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana wad biasa penuh dengan pesakit lain.

Isterinya, Datin Faezah Ahmad Zanzali ketika ditemui di hospital berkata, suaminya menerima rawatan di wad biasa dan memerlukan rehat yang secukupnya.

"Semalam (Ahad) dia sedih apabila dapat tahu media mengatakan dia dimasukkan ke ICU sedangkan keadaan dia stabil tetapi sebenarnya dimasukkan ke ICU kerana wad penuh.

"Beri la dia (Lat) masa untuk rehat dan jangan ganggu dia buat sementara waktu ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian