Mangsa Banjir Kesal Kena Bayar Lori Tolong Pindah Barang


TAMPIN – Dalam keadaan ditimpa musibah seperti banjir, sebilangan penduduk Taman Sungai Gemas di sini tidak menyangka pertolongan yang diberikan kepada mereka memerlukan ganjaran pula.

Namun anggapan Letchumi, 88, adalah salah apabila dia diminta membayar kepada pemandu lori yang sebelum itu beria-ia mahu membantu memindahkan perkakas rumahnya.

“Semalam seorang lelaki yang membawa lori datang dan bertanya sama ada saya mahukan pertolongan untuk pindahkan perkakas rumah saya. Saya bersetuju kerana katanya untuk menolong sahaja.

“Tetapi hari ini dia menghubungi anak saya dan meminta bayaran sebanyak RM10 bagi setiap barang yang dipindahkan ke rumah kawan saya di Taman Desa Permai.

“Jadi saya perlu bayar RM40 kerana saya pindahkan empat barang iaitu televisyen, meja televisyen, peti ais dan mesin jahit,” katanya.

Sementara itu Zarida, 62, berkata jika dia tahu khidmat lori itu memerlukan bayaran, dia tidak akan menggunakan khidmat tersebut.

“Mula-mula dia (pemandu lori) kata mahu tolong pindah barang. Dia tidak bagi tahu langsung dia akan kenakan bayaran. Tiba-tiba hari ini dia telefon bagi tahu saya kena bayar sebab barang saya sudah dipindah,” katanya.

Kedua-duanya merupakan antara 102 mangsa banjir dari Taman Sungai Gemas yang ditempatkan di Dewan Besar Gemas. – BERNAMA