Masa Bujang Tanya Kahwin, Lepas Kahwin Tanya Anak


“KETIKA bujang, orang asyik bertanya bila nak kahwin. Selepas berkahwin, ditanya pula bila nak dapat anak. Dalam soal ini ia berbalik kepada rezeki Allah,” ujar pelakon Amyra Rosli apabila diajukan soalan berkaitan cahaya mata.

Sudah menjadi lumrah sebagai seorang selebriti apabila sering ditanyakan soalan-soalan klise daripada pengamal media mahupun dari kalangan peminat selebriti itu sendiri.

Bagi pelakon Amyra Rosli yang baharu melangsungkan perkahwinan dengan Amar Baharin pada penghujung tahun lalu memberitahu bahawa dia tidak tertekan dengan soalan sedemikian.

Bahkan pertanyaan sebegitu dianggap sesuatu lumrah yang terpaksa dihadapi oleh setiap pasangan yang berkahwin.

“Tak pernah terdetik rasa nak marah atau tertekan. Bagi saya, ini adalah perkara biasa yang mana turut dilalui orang lain. Lambat atau cepat saya dan suami hanya berserah kepada Allah,” katanya dipetik dari Harian Metro.

Meskipun diajukan soalan-soalan tentang zuriat, namun Amyra bersyukur kerana dia mendapat sokongan moral yang padu daripada ibunya yang banyak memberinya semangat dan tunjuk ajar.

“Mama banyak memberi semangat. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu saya berasa terbeban dengan tanggungjawab sebagai isteri. Boleh dikatakan setiap hari saya belajar sesuatu yang baru.

“Saya dan Amar cuba menjalani kehidupan suami isteri ini dengan tenang. Apa yang kami boleh lakukan adalah dengan sentiasa berdoa,” luahnya pelakon berusia 27 tahun itu. -Kedahnews.com