"Masa Untuk PAS Telah Tamat," Tegas PAN

Salahuddin Ayub (paling kanan)
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) menyifatkan masa telah tamat untuk Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menunggu kerjasama PAS.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, Pakatan Harapan dan PPBM yang diketuai DAP tidak boleh berlengah lagi untuk merangka strategi bagi menumbangkan parti terbesar kaum Melayu UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“PAN berpandangan bahawa kita (PH dan PPBM) telah cukup terbuka dan telah menunaikan tanggung jawab besar bagi menyatukan parti-parti pembangkang. Masa telah tamat dan kita tidak boleh berlengah.

“Pertengahan Februari adalah garis penamat untuk Pakatan Harapan dan PPBM membuat keputusan muktamad,” ujarnya dalam satu kenyataan media semalam.

Pakatan Harapan dan PPBM sebelum ini cuba memujuk PAS untuk bersengkongkol dengan mereka bagi menumbangkang UMNO dan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

PAS yang pernah disingkirkan daripada pakatan pembangkang dua tahun lalu oleh DAP dan PKR kerana enggan berkompromi dalam beberapa isu akidah Islam menolak pujukan itu.

Pakatan Harapan dan PPBM kembali memujuk PAS bermula awal tahun ini selepas menyedari sokongan umat Islam ke atas mereka mula berkurangan.

Salahuddin berkata, semua pihak telah menyaksikan keterbukaan pimpinan PKR dan DAP menghulurkan salam permuafakatan untuk menerima PAS dalam gabungan pembangkang.

“PAN yakin dan percaya rakyat semakin faham dan boleh menjadi hakim bahawa parti manakah yang konsisten menolak meja perundingan dan parti manakah yang konsisten berpadu dan bermaufakat untuk menentang BN,” katanya. -Kedahnews.com