Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui dalam keadaan bogel, dipercayai ditinggalkan oleh ibunya di sebuah rumah di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan pada 6 Januari 2017. -BERNAMA |
SEREMBAN - Masyarakat perlu lebih peka dengan keadaan sekeliling mereka supaya kes pengabaian kanak-kanak seperti yang berlaku baru-baru ini, tidak berulang, kata Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.
Beliau berkata keadaan masyarakat sekarang yang semakin teruk dengan masalah sosial berpunca daripada sikap masing-masing yang tidak mahu bertanggungjawab dan mengambil berat dengan persekitaran mereka.
"Dalam isu kanak-kanak yang terbiar ini, ia berbalik kepada keadaan masyarakat sendiri yang sudah tidak mahu ambil peduli tentang akhlak dan sifat perikemanusiaan.
"Sepatutnya mereka mengambil iktibar dengan kes yang pernah berlaku di Nilai pada 2014, tetapi perkara seperti ini berlaku pula di Tampin minggu lepas," katanya kepada Bernama di sini.
Mohd Yusof berkata pegangan agama yang longgar juga antara punca masalah sosial seperti pengabaian kanak-kanak kerap berlaku di masa ini.
"Bila cakap hal agama, orang cakap kita ini terlampau nak merujuk kepada agama sangat, tetapi sebagai orang Islam, itulah rujukan kita yang utama.
"Apabila agama tak kuat dan masing-masing memandang remeh kepada pegangan dan didikan agama, itu menyebabkan wujudnya masyarakat yang kurang sensitif dengan perkara yang berperikemanusiaan," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai isu penceramah tanpa tauliah di negeri ini, Mohd Yusof berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan penceramah yang cuba menyampaikan ceramah di luar fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah dan mazhab Shafie.
"Kita kawal mereka yang beri ceramah sebab tidak mahu penularan yang tak selari dengan fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah dan mazhab Shafie.
"Mana-mana pemegang tauliah jika mereka berceramah benda tak sepatutnya, tauliah mereka juga akan ditarik," katanya. - Bernama