Mengajar Di Surau Tanpa Tauliah, Khalid Samad Didenda RM2,900


ALOR SETAR - Mahkamah Rendah Syariah Klang hari ini memutuskan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bersalah kerana mengajar tanpa tauliah di sebuah surau di sekitar Klang pada tahun 2011.

Dalam penghakiman hari ini Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim menjatuhkan hukuman denda RM2,900 atau penjara tiga bulan kepada Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) itu sekiranya gagal membayar denda tersebut.

"Mahkamah berpuas hati dengan segala hujah yang diberi dan telah mempertimbangkan alasan kedua-dua pihak.

"Mahkamah memutuskan hukuman RM2,900 atau denda tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit," kata Mohd Hairuddin.

Khalid sebelum ini didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Klang atas kesalahan mengajar tanpa tauliah di Surau Taman Semanta, Klang, pada 16 Ogos 2011, mengikut Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Selangor.

Mahkamah Syariah kemudiannya memerintahkan Khalid supaya membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie berhubung dakwaan.

Dalam pada itu, Khalid menjelaskan bahawa beliau akan membayar denda itu serta merayu terhadap hukuman tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada Jumaat ini.

"Pada hari ini kita akan membayar dulu denda RM2,900, selepas itu kita akan buat rayuan ke atas keputusan yang telah dibuat," katanya, memetik laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini.

Disoal mengenai keputusan itu sama ada akan menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding pilihan raya, Khalid menjelaskan bahawa keputusan tersebut bergantung kepada rayuannya nanti.

"Mungkin (hilang kelayakan MP) tapi bila kita dah buat rayuan maka keputusan berhubung hilang kedudukan saya sebagai anggota parlimen akan ditangguh sehingga keputusan rayuan itu sendiri," katanya.

Meskipun didapati bersalah, Khalid tetap mempertahankan tindakannya mengajar di surau berkenaan meskipun menyedari beliau tidak ditauliahkan untuk berbuat demikian.

"Bagi saya ia merupakan satu tanggungjawab dan kewajipan bagi diri saya untuk menceritakan pengalaman saya kerana itulah apa yang telah dipesankan kepada diri saya oleh Presiden Gaza iaitu Ismail Haniyeh," kata Khalid. -Kedahnews.com