MPK Tubuh Pasukan Siasatan Siasat Kes Letupan Bunga Api


SHAH ALAM – Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menubuhkan pasukan siasatan dalaman bagi menyiasat insiden letupan bunga api yang mencederakan 14 pengunjung ketika sambutan ambang Tahun Baharu 2017 di Kompleks Sukan Pandamaran malam kelmarin.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata pihaknya akan menanggung kos rawatan mangsa yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah sebagai pesakit luar.

Katanya mangsa telah dibenarkan pulang pagi semalam.

“Kami juga akan membuat pemantauan susulan terhadap mangsa sehingga mereka sembuh sepenuhnya. MPK memohon maaf kepada mangsa dan pengunjung yang hadir ekoran kejadian di luar jangkaan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kaitan: 10 Orang Melecur Terkena Letupan Bunga Api Di Klang

MPK merupakan penganjur Fiesta Gegar Klang 2016 itu yang berlangsung mulai 30 Disember sehingga semalam.

Seramai 14 orang terdiri daripada empat kanak-kanak dan 10 dewasa melecur akibat terkena letupan bunga api itu.

Difahamkan bunga api tersebut meletup sebelum ia berada di udara.

Yasid berkata langkah keselamatan diutamakan sepanjang program itu yang dihadiri kira-kira 15,000 orang.

Beliau turut melawat mangsa di hospital sejurus kejadian. – BERNAMA