Mukhriz Hanya Sekadar "Nasi Tambah", Diperguna PAS Kedah

ALOR SETAR - Kelibat Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dato' Seri Mukhriz Mahathir disifatkan hanya sebagai "nasi tambah" dan menjadi alat yang dipergunakan PAS Kedah yang semakin "tenggelam" di kalangan parti pembangkang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, biarpun PAS memperguna Mukhriz di pentas mereka, tindakan tersebut tidak akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) untuk kekal sebagai kerajaan di Kedah.

"Kehadiran Mukhriz adalah sekadar nasi tambah dan jelas beliau diperguna oleh PAS atas krisis yang sedia ada sekarang.

"Akibat ketandusan isu dan ruang yang sebenar, PAS terpaksa menggunakan bekas Menteri Besar sebagai "peluru" untuk menambah perisa serangan politik mereka di Kedah.

"Pemuda UMNO Kedah yakin bahawa penampilan Mukhriz dibeberapa pentas ceramah PAS di Kedah hanyalah modal politik baru di Kedah yang tidak akan menjejaskan Barisan Nasional," katanya dalam satu kenyataan media yang diajukan kepada Kedahnews.com, di sini, hari ini.


Kata Shaiful Hazizy, pihak pembangkang di Kedah sengaja mengada-adakan "roadshow" mendakwa kononnya rakyat Kedah "menderita", namun ia hanya sekadar melepaskan batuk di tangga khususnya untuk menonjolkan kembali PAS di mata rakyat.

"Bagi Pemuda Kedah beberapa siri ceramah ataupun "roadshow" Derita Rakyat Kedah hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga dan pada masa yang sama hanyalah sebagai petanda bahawa PAS masih wujud dan relevan didalam politik negeri Kedah.

"Selepas PAS Kedah dikatakan sepi dan tiada hala tuju selepas kehilangan Kedah pada pilihan raya umum 2013, kemunculan Mukhriz di atas pentas PAS seolah memberi sedikit oksigen kepada parti itu," ujar beliau.

Kata Ketua Pemuda UMNO Negeri itu, pelbagai langkah yang diambil Kerajaan BN Negeri Kedah yang berusaha menangani isu dan kebajikan di negeri ini jelas menunjukkan rakyat Kedah tidak menderita, menyangkal dakwaan propaganda parti pembangkang itu.

"Pemuda UMNO Kedah ingin menegaskan hakikatnya PAS Kedah sudah ketandusan "modal politik" yang sebenar di negeri Kedah.

"Langkah pro-aktif Kerajaan negeri dalam menangani kenaikan kos sara hidup dan perancangan Kerajaan Negeri melalui pengumuman bajet kerajaan negeri sudah jelas menyanggah tuduhan bahawa rakyat Kedah "menderita"," tegasnya.

Mengulas mengenai perkembangan UMNO Kedah yang Kerajaan Negeri, Shaiful Hazizy menjelaskan bahawa beliau yakin bahawa parti berkenaan sedang berada di landasan yang betul dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Hakikatnya UMNO Kedah dan Kerajaan Negeri berada di dalam keadaan yang baik di bawah kepimpinan baru, dan pada masa yg sama persefahaman pimpinan UMNO Kedah kembali utuh dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang.

"Pemuda UMNO Kedah mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa negeri Kedah akan terus berada dibawah kepimpinan BN," katanya.

Justeru itu, keyakinan yang ditabur parti pembangkang di depan rakyat mendakwa mereka akan kembali berkuasa di Kedah hanyalah sekadar propaganda tidak realistik tanpa asas yang kukuh, merujuk kepada "huru-hara" yang berlaku di kalangan mereka.

"Keyakinan 'semberono' parti pembangkang termasuk Mukhriz bahawa mereka akan merampas kembali Kedah di dalam beberapa siri ceramah hanyalah sekadar keyakinan buta tanpa melihat sitiuasi sebenar.

"Pemuda UMNO Kedah menegaskan BN tidak gentar dengan serangan parti pembangkang walaupun mereka mengajak Mukhriz bersama di setiap ceramah," kata Shaiful Hazizy.

Parti pembangkang baru-baru ini mengadakan ceramah "Derita Rakyat Kedah 2.0" di Taman Sri Pinang, Sungai Petani dengan tema "BN Menang, Kedah Sengsara".

Mukhriz yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah sebelum PRU ke-13 yang lalu melaungkan slogan "BN Menang, Kedah Senang", namun dikatakan gagal "menyenangkan" rakyat Kedah walau mentadbir kerajaan negeri selama hampir 3 tahun selepas kemenangan BN.  -Kedahnews.com