Murid Melayu Tunggal Mendafar Tahun 1 Di Sekolah Tamil


PAGOH – Sebuah sekolah vernakular Tamil di sini mungkin satu-satunya sekolah di negara ini yang hanya mempunyai seorang murid bagi Tahun Satu pada tahun ini.

Muhammad Hariz Asyraf merupakan antara lima murid berbangsa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK (T) Ladang Ban Heng.

Sekolah itu hanya mempunyai 11 murid dan 11 guru.

Ibu Muhammad Hariz, Norilam Abd Azizi, 35, berkata anak lelakinya bersungguh-sungguh untuk memulakan persekolahan bersama kakaknya, Nurul Adriena Syafiqa Mohd Tazili, 10, dan abangnya, Muhammad Razief Aiman Mohd Tazili, 12, masing-masing murid Tahun Empat dan Tahun Enam di sekolah berkenaan.

“Anak lelaki saya yang sulung kini di sekolah menengah, juga pernah belajar di sekolah itu.

“Saya dan suami mahu anak-anak kami belajar bahasa baharu dan kami berbangga mereka boleh berbahasa Tamil,” katanya.

Norilam berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan kesemua anak-anaknya yang berkomunikasi dalam bahasa Tamil di rumah.

“Kami berada dalam komuniti di ladang kelapa sawit dan tidak mempunyai masalah untuk bergaul dengan semua kaum,” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru SJK (T) Ladang Ban Heng, A. Subramaniam berkata, setakat ini, dua keluarga Melayu menghantar anak mereka ke sekolah tersebut.

Sumber: mStar