NAMA Mohd. Faiz Subri menjadi bualan hangat sejak awal pagi semalam apabila berjaya merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016.
Disebalik ucapan tahniah, ada juga netizen yang tidak ‘berpuas hati’ dengan tindakan dan pakaian Faiz.
Ada netizen mendakwa anak kelahiran Kedah itu kononnya memakai tanda "salib" ketika menerima hadiah pada majlis anugerah berprestij tersebut di Switzerland awal pagi semalam.
Pemenang jaringan gol paling cantik sepanjang 2016 itu didakwa memakai lambang salib di dadanya dan dikongsikan di laman sosial semalam.
Menerusi gambar yang dimuat naik itu, penyerang Pulau Pinang berusia 29 tahun itu kelihatan memakai tanda salib ketika menyampaikan ucapan selepas dinobatkan sebagai pemenang.
Perkongsian gambar tersebut dimuat naik netizen Tuan Anuwa melalui akaun Facebooknya yang mempertikaikan tindakan dan pakaian Faiz.
Malah netizen turut mempertikai tindakan Faiz mengucapkan salam ketika membuat ucapan di majlis berkenaan.
“Ambo yang daif ini rasa sedikit terkilan apabila beliau guna lafaz Assalamualaikum bukan pada tempatnya.
“Memakai pakaian yang tidak menampakkan imej Melayu dan Islam, bahkan terlihat salib yang jelas. Bahasa Melayu terpinggir di arus dunia,” tulisnya.
Bagaimanapun, pemerhatian kami mendapati penampakan lambang salib itu adalah mikrofon dan bow tie yang dipakai Faiz, dan bukan seperti yang disangka pengguna laman sosial berkenaan.
Pada majlis tersebut Faiz mengenakan pakaian rasmi baju sut seperti yang ditetapkan oleh penganjur anugerah Puskas walaupun plan awalnya mahu memakai baju Melayu namun terpaksa ditukar kerana faktor cuaca yang sejuk.
Perkongsian gambar tersebut menjadi viral di laman sosial dan turut mendapat kecaman ramain netizen yang menganggap ianya adalah sikap manusia bersifat negatif dan berfikiran kolot.
“Jenis manusia yang negatif, mugkin dia tak tengok kot video Faiz Subri naik pentas. Siap atur coat lagi…Hahahaha mende nye tanda salib,” komen netizen.
“Ada jer benda tak kena. Banyak-banyak benda kau boleh komen, kau komen bow tie + mic tu yang kononnya nampak macam tanda salib.
“Lepas tu kecewa pulak kononnya Faiz tak pakai baju Melayu. Ya Allah, tak semua benda dalam hidup ni boleh ikut kehendak kita lah bongok. Berbanggalah woi anak Malaysia ni dah diiktiraf di peringkat dunia,” tulis Zaidi Aziz.
Faiz menerima anugerah tersebut hasil keunikan sepakan percuma dalam perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang menerusi saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Februari tahun lalu.
Jaringan luar biasa itu meraih 59.46% undi dan dianggap paling menarik sepanjang tahun lalu sekaligus mendapat pengiktirafan antarabangsa. –Kedahnews.com