KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pekerja kedai kimpalan besi yang menggunakan plat nombor kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi membawa padah apabila kenderaannya ditahan dalam Ops Roda Khas di ibu negara.
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain berkata kereta jenis Honda Jazz yang dipandu lelaki 23 tahun itu telah disusun rapat sehingga menampakkan perkataan ‘WA BOSS T’ jika dilihat dari jauh.
“Plat nombor asal kenderaan itu ialah WA 8055 T, namun ia telah di ubah sehingga mengelirukan penguat kuasa dan orang ramai.
“Kami memandang berat kesalahan ini kerana kami tidak mahu ia dijadikan ‘trend’ yang mampu menyumbang kepada peningkatan aktiviti jenayah dengan menggunakan plat nombor pendaftaran yang mengelirukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Raja Laut di sini, malam semalam.
Mohd Nadzri berkata dalam operasi selama tiga jam yang bermula pada 10 malam dengan disertai 68 anggota dan pegawai itu, pihaknya mengeluarkan 399 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Operasi yang dijalankan serentak di tiga lokasi utama antaranya di Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Bangsar itu menyasarkan pengguna motosikal yang tidak mematuhi peraturan.
“Operasi ini diadakan bagi mengurangkan aktiviti kurang sihat melibatkan pengguna motosikal terutamanya menjelang ambang tahun baru 2017 nanti,” katanya. – BERNAMA