PAN Dakwa Bekas Pengerusi Tetap PAS Kedah "Cemuih" Dengan PAS?


KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Tetap PAS Kedah, Datuk Abu Kasim Abdullah pernah melahirkan rasa bosan dengan krisis dan adab dalam parti itu yang didakwa semakin terhakis.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) Kedah, Ridzwan Abu Bakar mendakwa, Abu Kasim membuat kenyataan itu sewaktu berucap dalam satu ceramah anjuran PAN.

“Abu Kasim pernah berceramah di atas pentas PAN. Isi kandungan ceramah beliau ialah melahirkan rasa ‘cemuih’ terhadap krisis dan juga adab dalam parti PAS yang makin terhakis.

“PAN Kedah sentiasa bersikap lapang dada dan membenarkan pentasnya digunakan oleh semua pihak yang memperjuangkan Islah dan pembahruan,” dakwanya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Ridzwan berkata, PAN sentiasa bersikap terbuka untuk setiap orang menyatakan prinsipnya dan tidak akan mengamalkan budaya melabel dan mentakfirkan sesiapa.

Beliau bagaimanapun mengakui, Abu Kasim belum memohon menjadi ahli PAN, tetapi pernah menyertai beberapa program lain anjuran parti itu sebelum ini.

Kenyataan Ridzwan itu dipercayai antara modus operandi serangan habis-habisan yang sedang dilancarkan Pakatan Harapan dalam usaha memburuk-burukkan imej PAS di mata rakyat.

Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerang PAS selepas gagal memujuk parti itu supaya bersengkongkol dengan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PAS yang disingkirkan daripada pakatan pembangkang dua tahun lalu oleh PKR dan DAP kerana enggan berkompromi dalam beberapa isu akidah Islam menolak pujukan itu kerana menyifatkan DAP yang mengetuai Pakatan Harapan sebagai anti-Islam. – Kedahnews.com