PAN Kedah Mahu Pakatan Harapan Dan PAS Bersatu


KUALA KEDAH – Pakatan Harapan masih memujuk dan menunggu jawapan daripada Pas untuk bekerjasama menentang BN pada PRU14. Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, hanya penyatuan pembangkang mudah untuk kalahkan BN.

“Kami bertekad bahawa kita akan hadapi BN pada PRU14, sebab itu kita masih pujuk Pas. Tetapi Pas sehingga sekarang tak jawab lagi nak bersama kita atau tidak, ini masalah.

"Kalau kita nak lawan BN, kita kena bersatu. Semua parti (pembangkang) mesti lawan atas satu platform baru boleh kalahkan BN.

"Kalau kita lawan secara berpecah mesti payah untuk kita hadapi BN,” katanya.

Phahrolrazi (tiga, kiri) bergambar bersama pimpinan Pakatan Harapan dan parti PPBM
Beliau berkata demikian semasa ceramah sempena amanat Rafizi sebelum dipenjara yang diadakan di pekarangan pejabat PKR Kuala Kedah, baru-baru ini.

Menurutnya, rakan-rakan pembangkang tidak boleh bersatu sekiranya masing-masing nak mempertahankan pendirian parti sendiri.

“Tetapi parti-parti yang ada (Pakatan Harapan) telah korbankan sedikit prinsip untuk menjaga kepentingan rakyat.

“Kita hendaklah berada dalam satu kelompok pembangkang dan insyaAllah pada PRU14 kita akan jadi kerajaan,” katanya.

Phahrolrazi berkata, tiada pilihan lain untuk parti pembangkang selain bersatu jika mahu tumbangkan BN bagi menyelamatkan Malaysia.

Sumber: Sinar Harian