PAN Label PAS "King Of Oppotunist", Gesa Jangan Kerjasama


ALOR SETAR - Bukan saja melabel PAS sebagai "king of opportunist", malah Parti Amanah Negara (PAN) turut menggesa semua parti pembangkang supaya melupakan PAS dan tidak membentuk sebarang kerjasama dengan parti itu.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Mohd Sany Hamzan berkata, sikap negatif dan dolak dalik yang ditonjolkan PAS hanya akan memberi kelebihan kepada parti itu sendiri selain Barisan Nasional.

“PAS dilihat mahu hidup selesa atas perpecahan dan kesusahan orang lain.

“Sewajarnya, istilah king maker ditukar kepada king of opportunist (raja oportunis) agar rakyat tidak keliru dengan politik makan keliling PAS,” katanya hari ini, memetik laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini.

Selain itu, Mohd Sany turut mendakwa PAS kini mengamalkan konsep "makan keliling" yang hanya menguntungkan parti itu, namun berselindung di sebalik slogan baru, "politik matang dan sejahtera".

"Dalam anggapan PAS, blok-blok sedia ada perlu bergantung harap kepada PAS untuk membentuk kerajaan walau pun kerusi yang dimenangi hanya sedikit.

"PAS membayangkan pada waktu itu harga mereka akan menjadi mahal.

"Segala tuntutan PAS perlu dipenuhi oleh mana-mana pihak yang perlukan bantuan mereka. Tanpa kerjasama PAS maka kerajaan yang kukuh tidak boleh terbentuk," katanya lagi.

Justeru itu, Ketua Pemuda PAN itu menggesa parti-parti pembangkang supaya segera melupakan kerjasama dengan PAS sebelum terlambat.

Selain itu, Mohd Sany juga mendakwa sikap “dolak dalik” PAS yang hanya mahu bekerjasama dengan PKR dan Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya melemahkan pembangkang. -Kedahnews.com