PAS Bagai Tempelak Diri Sendiri, Kata Khalid Samad


SHAH ALAM – Tindakan Pas yang mendakwa sukar untuk kerjasama dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad seolah-olah menempelak diri sendiri, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

"Tidak perlu menuduh Mahathir sukar untuk dibawa berbincang dan bekerjasama, Pas lah yang sebaliknya susah memberi kerjasama dalam gerakan untuk merampas takhta kerajaan pada pilihan raya akan datang.

“Kenyataan Pas seolah-olah mencerminkan diri sendiri. PPBM atau Mahathir sendiri sekurang-kurangnya boleh duduk bersama-sama dengan semua rakan pembangkang dan berbincang tentang gerak kerja bagi pilihan raya akan datang.

“Yang tak sanggup duduk, bincang dan bekerjasama adalah Pas. Pas banyak letak syarat, tak mahu bincang dan sebagainya. Macam-macam yang dia (Pas) mahu kita ikut dia,” katanya, semalam.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pakatan pembangkang akan menghadapi kesukaran jika terus bekerjasama dengan Mahathir.

Menurut Mohd Amar, sikap Mahathir yang tidak pernah berubah akan menyukarkan lagi kerjasama antara pembangkang secara keseluruhan.

Menangkis serangan Pas, Khalid sebaliknya berkata, Pas seharusnya sedar yang satu-satunya pihak yang tidak bersama pembangkang adalah Pas sendiri.

Sedangkan parti pembangkang yang lain, katanya lagi, tetap berdiri teguh bersama-sama demi perjuangan untuk membela rakyat.

“Dia (Pas) tuduh kita (pembangkang lain) macam-macam. Sedangkan dia lah parti yang terpinggir dari semua orang sekarang ini. Jadi siapa yang susah untuk kerjasama sebenarnya?

“Saya rasa rakyat pun sudah pandai menilai siapa yang susah untuk dibawa berbincang sebenarnya,” katanya sinis.

Sumber: Sinar Harian