"PAS Rasa Dah Terlalu Hebat, Besar" - PAN


SHAH ALAM - PAS disifatkan sebagai ‘berasa parti mereka terlalu hebat’ berikutan tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan pihak lain.

Pengerusi PAN Selangor, Ir Izham Hashim berkata, ‘kebersamaan’ itu penting dalam usaha mencapai muafakat dan persetujuan bersama.

“Kalau nak berkawan dengan orang, mana ada cara kita semua orang kena ikut? Apabila nak muafakat, kita kena cari benda yang boleh dijadikan asas untuk kebersamaan. Apa-apa keputusan nak capai, mesti keputusan bersama.

“Kalau ikut cara kita semua, tak adalah muafakat dan tak jadilah pakatan. Ini masalah PAS, mereka tak boleh nak kerjasama dengan orang lain. Rasa dah terlalu hebat dan besar, jadi orang lain kena ikut dia,” katanya.

Sebelum, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan untuk ‘ikut cara PAS’ kepada mana-mana parti sekiranya mahu bekerjasama dengan PAS.

Katanya, adalah satu kerugian jika PAS berterusan enggan menjalinkan kerjasama berikutan kemenangan besar dalam pilihan raya sebelumnya pernah dicatatkan.

“Kalau tak nak apa boleh buat. Tak tahulah PAS ini nak apa. Di Malaysia ni tak boleh ada satu parti saja kalau nak menang. UMNO pun tahu sebab tu dia ada 13 lagi parti komponen.

“Rugi begitu kerana 2008 dan 2013 dulu kita menang besar kerana muafakat. Jadi sekarang ni PAS nampaknya tak minat nak menang. Kalau nak cari keredaan Allah, tak payah masuk politik pun boleh,” katanya.

Sumber: Sinar Harian