PAS Selangor Nafi Keras Hadir Program Pelancaran PPBM

SHAH ALAM - PAS Selangor menafikan dakwaan Pesuruhjayanya, Iskandar Abdul Samad hadir pada Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Mohd Prasad Hanif berkata, ia adalah fitnah yang dimainkan dengan niat sengaja menjejaskan imej PAS Selangor.

“Di dalam laporan sebuah media tempatan, Iskandar didakwa telah menghadiri program PPBM di stadium, pada Sabtu lalu.

“PAS Selangor menafikan fitnah tersebut sekeras-kerasnya. Pesuruhjaya PAS Selangor menghadiri program parti sepanjang hari semalam dalam program bertemu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim ketika dihubungi menjelaskan, PAS tidak menghantar wakilnya pada program pelancaran parti itu kerana sedang melaksanakan program anjurannya sendiri.

“Walaupun difitnah dan ditohmah, PAS Selangor yang dipimpin Iskandar, selaku Pesuruhjaya, akan terus fokus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“PAS Selangor tidak akan terjerumus ke dalam politik murahan mana-mana pihak,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian